KUANTAN: Polis menahan 31 individu termasuk warga asing disyaki terbabit sindiket penipuan secara dalam talian menerusi lima operasi di Kuantan dan Genting Highlands, Bentong dari 6 hingga 14 Oktober lalu.
Semua suspek ditahan dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Pahang yang menyasarkan kegiatan penipuan pelaburan dalam talian, love scam dan tawaran pekerjaan sambilan palsu.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, operasi berkenaan melibatkan empat serbuan di Kuantan dan satu di Genting Highlands dengan mangsa disasarkan terdiri daripada penduduk China, Eropah serta Amerika Syarikat.
“Dalam operasi pertama di Sungai Lembing pada 6 Oktober lalu, polis menahan lima suspek terdiri daripada tiga lelaki warga China, seorang lelaki warga India dan seorang wanita warga Myanmar yang disyaki terbabit dalam penipuan pelaburan dalam talian,” katanya hari ini.
Menurut beliau pada 7 Oktober pula, tujuh lelaki warga China ditahan di Kuantan dalam operasi berkaitan penipuan pelaburan dalam talian diikuti lapan suspek yang ditahan pada 12 Oktober kerana disyaki terlibat dalam kegiatan love scam.
Polis turut menahan empat lelaki warga China dalam operasi berkaitan love scam di Kuantan pada 13 Oktober sebelum memberkas tujuh lagi lelaki warga China di Genting Highlands, Bentong, pada 14 Oktober lepas kerana disyaki menjalankan penipuan tawaran pekerjaan sambilan menerusi platform Amazon.
“Dalam operasi berkenaan, polis merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan itu termasuk komputer, komputer riba, telefon bimbit, tablet, modem dan penghala internet, selain wang tunai berjumlah RM4,850,” ujarnya.
Azry Akmar berkata, siasatan awal mendapati kegiatan itu dipercayai dijalankan secara terancang dengan pembahagian tugas tertentu selain menggunakan akaun media sosial palsu, aplikasi komunikasi dan rangkaian internet bagi memperdaya mangsa serta menyembunyikan identiti sebenar. – UTUSAN











