KOTA BHARU: Semua mangsa yang terlibat dalam enam kes buli membabitkan murid dan pelajar sekolah di Kelantan sepanjang tahun ini berusia antara tujuh tahun hingga 18 tahun.
Ketua Polis nengeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, susulan itu polis membuka enam kertas siasatan yang mana satu kes telah dituduh di mahkamah, tiga masih dalam siasatan manakala dua lagi diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.
“Kematian Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril di Negeri Sembilan dan Allahyarham Irene Sofiya di Johor menjadi peringatan bahawa keganasan dalam kalangan golongan muda tidak boleh dipandang ringan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ibu pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini ,hari ini.
Mohd. Yusoff berkata, semua ketua polis daerah dan pegawai perhubungan sekolah perlu memperkukuh kerjasama dengan pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti bagi menangani gejala buli.
Katanya, setiap aduan perlu diberikan perhatian serius dan tindakan sewajarnya mesti dilaksanakan secara profesional tanpa menunggu tragedi berlaku.
“Kita mahu memastikan sekolah kekal sebagai tempat yang selamat untuk anak-anak menimba ilmu, membina impian dan membesar tanpa ketakutan. Melindungi generasi muda hari ini bermakna kita sedang menjaga masa depan negara,” ujarnya. – UTUSAN











