Polis Selangor buka kertas siasatan individu dakwa jadi ADC Raja Muda

Polis Selangor buka kertas siasatan individu dakwa jadi ADC Raja Muda

ADC
SHAZELI KAHAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis Selangor menyiasat dakwaan individu menyamar sebagai juruiring atau Aide-de-Camp (ADC) kepada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada Pejabat Kawalan Keselamatan Sultan Selangor, Istana Mestika berhubung dakwaan penyalahgunaan gambar baginda menerusi hantaran oleh pemilik akaun media sosial Threads, dwan_hamid.

“Hantaran tersebut mendakwa terdapat seorang lelaki yang mengaku sebagai ADC kepada Raja Muda Selangor dan menggunakan gambar baginda bagi memperdaya orang awam dalam urusan pembelian rumah dan kenderaan serta disyaki mengambil wang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Pejabat Sultan Selangor dalam kenyataan menyerahkan isu individu menyamar sebagai Pengawal Peribadi Sulit kepada Raja Muda Selangor dengan memperdaya orang ramai kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

Kata kenyataan itu, Istana Selangor memandang serius terhadap isu ini dan menyerahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat siasatan menyeluruh dengan adil dan telus.

Istana Selangor memohon kerjasama orang awam supaya membuat semakan dengan pihak pentadbiran istana berkaitan apa-apa dakwaan yang mengaitkan kedudukan individu terlibat dengan nama istana dalam membuat sebarang urusan.

Shazeli kemudian menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan membuat pengesahan melalui saluran rasmi sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini