SHAH ALAM: DRB-HICOM Auto Solutions Sdn. Bhd. (DHAS) mencipta pencapaian penting apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records menerusi pelaksanaan Sistem Penjejakan Kenderaan Pintar Dalam Kawasan Operasi Terbesar melalui DHAS Vehicle Tracking System (DVTS).
Pengiktirafan itu mencerminkan usaha berterusan syarikat berkenaan dalam memperkukuh pendigitalan bagi meningkatkan kecekapan operasi logistik automotif.
DVTS yang dibangunkan secara tempatan menggunakan teknologi rangkaian kawasan luas jarak jauh (LoRaWAN), peranti penjejakan berasaskan Sistem Kedudukan Global (GPS), teknologi geofencing serta pemantauan digital berpusat.
Gabungan teknologi itu membolehkan lokasi dan pergerakan kenderaan di kawasan operasi dipantau dengan lebih menyeluruh dan tepat.
Pelaksanaan sistem berkenaan mengurangkan kebergantungan terhadap kaedah penjejakan manual, mempercepat proses mengenal pasti kenderaan serta meningkatkan ketepatan rekod pergerakan kenderaan.
Penambahbaikan itu turut membantu mempercepat proses penghantaran kenderaan kepada pelanggan.
DVTS telah dilaksanakan di kawasan pusat pemprosesan kenderaan DHAS di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Pulau Indah, Selangor dan Pekan, Pahang.
Di PKFZ, sistem berkenaan digunakan untuk memantau serta menyelaraskan pergerakan kenderaan di kawasan seluas kira-kira 33 ekar, bersamaan sekitar 80 padang bola sepak.
Pemantauan merangkumi beberapa zon operasi yang ditetapkan, termasuk penerimaan, penyimpanan, pemprosesan dan penghantaran kenderaan.
Selain itu, DVTS menyediakan papan pemuka digital, pelaporan dan analisis data bagi membantu perancangan sumber, proses membuat keputusan operasi serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan.
Ketua Pegawai Eksekutif DHAS, Fawzi Ahmad berkata, pengiktirafan Malaysia Book of Records itu merupakan pencapaian penting yang akan mendorong syarikat berkenaan mempergiat usaha memperkukuh operasi melalui penggunaan teknologi.
“DVTS membolehkan kami menguruskan kenderaan dengan lebih cekap dan tepat, di samping meningkatkan keterlihatan operasi secara menyeluruh.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen kami untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan dan rakan perniagaan,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan itu turut menggalakkan DHAS meneruskan usaha pendigitalan bagi memperkukuh keupayaan logistik automotif syarikat.
DHAS akan terus meneroka penggunaan automasi dan penyelesaian digital bersepadu bagi meningkatkan kecekapan operasi serta memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang.
Usaha itu dijangka terus menyokong penambahbaikan proses pengurusan kenderaan, khususnya dari segi pemantauan, penyelarasan pergerakan dan penghantaran kepada pelanggan.











