Di sebalik gelaran suami yang kini disandang Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman, tersimpan satu pengakuan cukup bermakna tentang wanita yang memilihnya sebagai teman hidup, Bella Astillah.
Bukan mahu tampil sebagai wira yang menyelamatkan isterinya daripada segala kecaman, sebaliknya Syed Saddiq melihat Bella sebagai wanita yang sudah lama membuktikan kekuatan dirinya sendiri.
Malah, di sebalik segala yang diperkatakan orang, beliau menyifatkan dirinya sebagai insan bertuah kerana diberi peluang berdiri di sisi Bella, bukan sebaliknya.
Syed Saddiq berkata, Bella bukan wanita yang memerlukan sesiapa untuk membina semula kehidupannya kerana selebriti itu sudah membuktikan kemampuan berdikari, selain berjaya membesarkan dua anaknya, Ayden dan Ara, dengan penuh kasih sayang.
“Anggapan bahawa Bella perlu diselamatkan adalah tidak benar. Hakikatnya, saya tidak ‘menyelamatkannya’. Bella menyelamatkan dirinya sendiri. Dia seorang yang berdikari, kuat dan tabah. Tanpa saya sekalipun, dia berjaya membahagiakan kedua-dua anaknya dan memberikan pendidikan yang terbaik kepada mereka.
“Kalian sendiri dapat mendengar bagaimana Ayden berucap dengan begitu petah di majlis resepsi. Semua itu hasil usahanya sendiri. Begitu juga Ara. Jadi, saya rasa Bella tidak memerlukan sesiapa untuk menyelamatkannya kerana Bella mampu berdiri atas kaki sendiri. Saya hanyalah pelengkap dalam kehidupannya,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq mengakui menjadi tanggungjawabnya sebagai suami untuk mempertahankan Bella sedaya upaya, terutama apabila berasakan sesuatu perkara perlu diperjelaskan kepada orang ramai.
Katanya, beliau tidak semestinya perlu memberikan respons terhadap setiap perkara yang diperkatakan, namun akan bersuara apabila mendapat peluang dan platform yang dirasakan sesuai.
“Maksud saya, sudah tentu mempertahankan isteri itu tanggungjawab saya sebagai seorang suami. Pada masa yang sama, saya bukan mengatakan sesuatu yang tidak benar. Itu fakta dan itulah kebenarannya.
“Walaupun kadangkala kita memilih untuk berdiam diri kerana tidak perlu memberikan respons terhadap setiap perkara, bagi diri saya, apabila mendapat peluang dan platform yang saya rasakan sesuai, saya akan memberikan respons. Itu tanggungjawab saya sebagai suami dan tanggungjawab saya untuk membantu sedaya upaya,” katanya.
Mengulas kecaman yang mendakwa Bella tidak sepadan dengannya, Syed Saddiq berkata, beliau tidak mengambil kata-kata sedemikian secara peribadi.

Sebaliknya, perkara yang lebih penting baginya adalah memastikan Bella terus mengecap kebahagiaan, apatah lagi isu berkenaan sudah berlarutan selama berbulan-bulan, malah sejak tahun lalu.
“Saya tidak mengambil perkara-perkara itu secara peribadi. Cuma pada masa yang sama, saya mahu memastikan isteri saya bahagia. Perkara ini bukan sesuatu yang baharu. Ia sudah berlarutan selama berbulan-bulan, malah sejak tahun lepas.
“Namun begitu, saya mahu memastikan bahawa saya dapat membawa kegembiraan dan kebahagiaan kepada isteri saya,”katanya.
Sementara itu, Bella mengakui terharu apabila mengetahui suaminya tampil mempertahankannya secara terbuka.
Bagi Bella, tindakan itu cukup bermakna kerana membuktikan dirinya dan anak-anak disayangi dengan ikhlas, sekali gus memberikan ketenangan dalam menghadapi pelbagai perkara yang menjadi perhatian umum.
“Saya berasa sangat terharu dan lega apabila mengetahui ada seseorang yang benar-benar menyayangi saya dan anak-anak dengan ikhlas serta sanggup mempertahankan kami. Itu sebenarnya sudah lebih daripada mencukupi bagi saya.
“Saya tidak pernah terfikir atau meminta dia mengeluarkan kenyataan mahupun mempertahankan saya kerana saya rasa perkara ini merupakan lumrah sebagai seorang selebriti. Apa-apa sahaja yang dilakukan pasti akan mendapat perhatian orang ramai. Jadi, saya menerimanya seadanya.
“Apabila dia berdiri di hadapan semua orang kelmarin, saya faham bahawa dia bukan sekadar mahu mempertahankan saya. Saya faham bahawa dia tidak mahu saya bersedih. Jadi, saya sangat gembira. Terima kasih atas perkara itu. Alhamdulillah,” katanya.
Dalam masa sama, Bella turut berkongsi perasaan melihat anak sulungnya, Ayden, berucap dengan penuh keyakinan di hadapan orang ramai di majlis resepsi mereka Ahad lalu.
Menurut Bella, walaupun anaknya itu memang gemar bercakap, dia tidak menyangka Ayden mampu menyampaikan ucapan sedemikian, apatah lagi tanpa menitiskan air mata seperti kebiasaannya ketika meluahkan perasaan.
“Sebenarnya, Ayden selalu bercakap dengan saya dan saya juga sering merakam perbualan kami dalam telefon. Dia pernah bercakap sehingga 14 minit.
“Apabila saya melihat dia tidak menangis tadi, saya rasa Ayden sangat gembira. Jika kalian melihat semua rakaman perbualan Ayden dengan saya dalam telefon, dia sering menangis. Jadi, apabila dia bercakap dengan penuh keyakinan sambil memandang saya dan suami, saya dapat merasakan bahawa sebagai seorang ibu, kebahagiaan anak-anak ialah perkara yang paling utama.
“Saya mahu Ayden pergi ke sekolah dengan hati yang tenang kerana kadangkala emosi kanak-kanak sangat rapuh. Jadi, Alhamdulillah.. Terima kasih buat suami sekali lagi kerana sudi menerima saya dan anak-anak,” katanya.











