Pasaran saham Indonesia menjuam ke paras terendah dalam tempoh enam tahun - Utusan Malaysia

Pasaran saham Indonesia menjuam ke paras terendah dalam tempoh enam tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA/JAKARTA: Pasaran saham Indonesia merosot ke paras terendah dalam tempoh enam tahun hari ini, susulan kejatuhan terbesar dalam tempoh dua hari dagangan.

Sementara itu, rupiah turut melemah selepas MSCI memberi amaran bahawa Indonesia berisiko disingkirkan daripada indeks globalnya tahun depan, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Jakarta untuk menangani kebimbangan penyedia indeks itu.

Indeks penanda aras saham Jakarta jatuh lebih lima peratus pada Isnin selepas menjunam 11.6 peratus pada Jumaat, ketika pasaran saham Indonesia yang mencatatkan prestasi terburuk di dunia itu terjejas susulan kenyataan MSCI bahawa pihaknya sedang mempertimbangkan untuk menukar status Indonesia daripada kategori semasa ‘pasaran sedang pesat membangun’ kepada status ‘pasaran kendiri’.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pengumuman MSCI itu tidak dijangka oleh kami dan mencetuskan panik pasaran,” kata Bursa Saham Indonesia dalam satu kenyataan menjelang pertemuan antara kepimpinan bursa itu dengan eksekutif MSCI pada lewat hari ini.

Pada Isnin, bursa itu mengurangkan separuh had penurunan harga saham kepada tujuh peratus bagi memperlahankan tekanan jualan.

Perubahan kepada status pasaran kendiri berisiko memutuskan akses ekonomi terbesar Asia Tenggara itu kepada modal antarabangsa, meletakkannya di pinggiran pasaran pelaburan global serta menyamakannya dengan sekumpulan pasaran kendiri lain termasuk Lubnan dan Zimbabwe.

Kebimbangan terhadap ancaman itu turut merebak ke pasaran rupiah dan bon.

Rupiah melemah kepada 18,040 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), tidak jauh daripada paras terendah rekod 18,190 yang dicatatkan pada Jun, manakala penurunan harga bon kerajaan Indonesia mendorong hasil bon 10 tahun meningkat kepada 7.4 peratus, menurut peniaga, berbanding 7.169 peratus pada Jumaat lalu.

Tindakan MSCI yang lebih keras daripada jangkaan itu, selepas penyedia indeks berkenaan mula membangkitkan kebimbangan pada Januari mengenai manipulasi pasaran dan ketelusan pemilikan saham, meningkatkan tekanan terhadap pengawal selia dan pegawai kewangan Indonesia ketika pelabur menilai semula pendedahan mereka kepada aset negara itu secara lebih menyeluruh.

Presiden Prabowo Subianto dijangka bertemu pegawai kanan kewangan pada sebelah petang bagi membincangkan ‘keadaan ekonomi semasa’, menurut dua sumber kerajaan yang mengetahui perkara itu.

Pertemuan itu akan melibatkan dana kekayaan negara, Danantara, serta Jawatankuasa Kestabilan Sistem Kewangan Indonesia yang dianggotai menteri kewangan, Gabenor Bank Indonesia serta ketua-ketua Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan (OJK) dan Perbadanan Insurans Deposit Indonesia, kata sumber berkenaan.

Penganalisis berdaulat S&P Global Ratings, Rain Lin, berkata amaran terbaharu MSCI berkemungkinan mencetuskan aliran keluar modal tambahan, namun beliau tidak menjangkakan jumlahnya cukup besar untuk meningkatkan kos pembiayaan secara ketara.

“Perkara yang lebih membimbangkan ialah kemungkinan keyakinan pelabur terjejas serta risiko sentimen merosot secara lebih meluas dalam pasaran bon kerajaan dan pelaburan langsung asing.”

Amaran MSCI itu merupakan perkembangan terbaharu dalam siri cabaran yang dihadapi kerajaan Prabowo pada tahun ini, selepas Moody’s dan Fitch menurunkan unjuran penarafan kredit berdaulat Indonesia kepada negatif.

Kemerosotan pasaran itu berlaku menjelang keputusan dasar Bank Indonesia pada minggu ini.

Walaupun bank pusat itu secara meluas dijangka mengekalkan kadar faedah semasa, beberapa penganalisis membangkitkan kemungkinan kenaikan kadar bagi membendung penjualan besar-besaran dalam pasaran bon.

Pada Januari, MSCI mengancam untuk menurunkan status pasaran Jakarta kepada kategori ‘pasaran sempadan’.

Bagaimanapun, pada Jumaat, penyedia indeks itu berkata kegagalan mencapai kemajuan dalam menangani kebimbangannya mengenai ketelusan pemilikan saham dan tingkah laku dagangan bermakna penurunan kepada status berkenaan sekalipun masih tidak menggambarkan sepenuhnya tahap keseriusan isu yang dihadapi.

“Beban pembuktian kini beralih kepada pihak berkuasa. Untuk mengelakkan pengelasan semula, bukti jelas diperlukan bahawa pembaharuan yang diumumkan telah dilaksanakan secara konsisten dan meningkatkan fungsi pasaran secara ketara,” kata pakar strategi Goldman Sachs dalam satu nota.

Pada Jumaat, sebuah badan pengawal selia Indonesia mengumumkan sekatan terhadap pihak yang dikaitkan dengan dakwaan manipulasi dagangan saham tiga syarikat, dengan jumlah denda mencecah 2.1 trilion rupiah (AS$116.4 juta).

“Denda itu merupakan langkah positif, tetapi tindakan bersepadu diperlukan untuk memperkukuh kewibawaan OJK dan mengambil tindakan langsung terhadap beberapa pemain terkenal yang terbabit dalam penyalahgunaan pasaran,” kata Angus Mackintosh, pakar Asia Tenggara di Aletheia Capital di Singapura.

Goldman Sachs menganggarkan penyingkiran penuh Indonesia daripada indeks MSCI boleh mencetuskan aliran keluar dana pasif sebanyak AS$5.6 bilion.

Dana aktif yang menggunakan indeks berkenaan sebagai penanda aras memegang aset bernilai lebih AS$8 bilion, walaupun sebarang tindakan menjual pegangan bergantung pada keputusan pengurus dana dan bukannya didorong secara langsung oleh perubahan penanda aras, menurut pakar strategi firma itu.

Pelabur asing telah menjual bersih saham Indonesia bernilai AS$4.88 bilion setakat tahun ini, sekali gus meletakkan pasaran itu di landasan untuk mencatatkan aliran keluar tahunan terbesar dalam tempoh sekurang-kurangnya 16 tahun.-Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini