Pearly-Thinaah bangkit selepas episod kecederaan

Pearly-Thinaah bangkit selepas episod kecederaan

Pearly Tan-M. Thinaah muncul juara badminton Terbuka Denmark di SJF Bank Arena, Odense, Denmark, kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas melalui tempoh sukar akibat kecederaan belakang yang memaksa Pearly Tan melupakan beberapa kejohanan penting musim ini, kejayaan menjulang gelaran beregu wanita Terbuka Denmark bersama M. Thinaah menjadi ganjaran bermakna buat pasangan negara itu.

Pearly yang mengalami kecederaan berulang ketika Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China, pada April lalu terpaksa menarik diri daripada skuad Piala Uber serta beberapa kejohanan lain bagi memberi tumpuan kepada proses pemulihan.

Namun, pemain berusia 26 tahun itu kembali membuktikan keupayaannya apabila bergandingan semula dengan Thinaah untuk menjuarai Indonesia Masters sebelum meneruskan momentum di Odense, Denmark, dengan gelaran kedua mereka musim ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi Pearly, perjalanan yang dilalui sepanjang beberapa bulan kebelakangan ini bukan sesuatu yang mudah, namun pengalaman mengharungi detik sukar bersama Thinaah menjadikan kejayaan berdiri di podium tertinggi lebih bermakna.

“Saya tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan prestasi terbaik kami, tetapi saya rasa kami semakin kuat selepas melalui beberapa bulan yang dipenuhi kecederaan serta pelbagai pengalaman manis dan pahit.

“Saya sangat gembira dapat melalui semua ini bersama Thinaah dan berdiri di podium tertinggi hari ini membawa makna yang besar buat kami,” kata Pearly selepas perlawanan, kelmarin.

Pada aksi final itu, beregu No. 5 dunia itu, menewaskan pasangan Jepun, Hinata Suzuki-Nao Yamakita, 21-18, 21-11 pada final kejohanan berstatus Super 750 itu, kelmarin.

Sementara itu, Thinaah mengakui kejayaan di Denmark cukup istimewa kerana mereka sebelum ini tidak pernah melepasi suku akhir kejohanan berkenaan, sekali gus menjadikan gelaran itu lebih manis selepas melalui musim yang mencabar.

Menurutnya, mereka memilih untuk tidak meletakkan tekanan berlebihan terhadap diri sendiri, sebaliknya memberi tumpuan kepada permainan dan menikmati suasana kejohanan sepanjang kempen berlangsung.

“Kami benar-benar gembira dapat memenangi gelaran ini kerana sebelum ini kami tidak pernah melepasi suku akhir di sini, jadi kejayaan muncul juara membawa kegembiraan yang besar buat kami.

“Kami akan meraikannya dengan makan malam yang baik, tetapi tumpuan kembali bermula kerana kami perlu berangkat ke Paris keesokan harinya,” katanya.

Pasangan itu akan berlepas ke Paris bagi meneruskan jelajah Eropah menentang gandingan Turkiye, Bengisu Ercetin-Nazlican Inci pada aksi pusingan pertama Terbuka Perancis, esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini