PETALING JAYA: Pembatalan lesen eksport sistem peluru berpandu oleh Kerajaan Norway antara penyumbang kelewatan penyerahan Kapal Tempur Pesisir (LCS) pertama kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Lumut Naval Shipyard Sdn. Bhd. (LUNAS) menjelaskan satu daripada perkembangan utama yang mempengaruhi garis masa penyerahan LCS1 adalah pembatalan lesen itu awal tahun ini.
Katanya, keputusan itu mengakibatkan LUNAS tidak lagi dibenarkan di bawah peraturan kawalan eksport antarabangsa termasuk Peraturan Perdagangan Senjata Antarabangsa (ITAR) untuk menyerahkan kapal dengan sistem pelancar peluru berpandu dari Norway yang telah dipasang.
“Bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap keperluan kawal selia ini, sistem pelancar tersebut mesti dikeluarkan dan dikembalikan ke Norway kerana rantaian jagaan yang diwajibkan tidak boleh terputus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, perkembangan itu berada di luar skop tanggungjawab kontrak asal LUNAS, namun pihaknya telah memaklumkan secara rasmi kepada Kementerian Pertahanan mengenai implikasi teknikal, kos dan jadual susulan perkembangan tersebut.
“Kerja pematuhan, pemunggahan dan pembaikan tambahan telah memerlukan pelarasan pada garis masa penyerahan kapal. Sasaran Penyerahan Fizikal (PHO) yang disemak semula pada April 2027 adalah perlu bagi memastikan LCS1 diserahkan dengan selamat, bertanggungjawab dan mematuhi sepenuhnya keperluan kawal selia yang berkenaan.
“Harap maklum bahawa tarikh ini akan berganjak lebih lewat sekiranya Perintah Perubahan kepada kontrak terus tertangguh,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan Laporan Ketua Audit Negara yang memaklumkan status kemajuan projek LCS setakat 25 Jun lalu sebagai lewat 7.55 peratus, dengan kelewatan antara 30 hingga 108 hari.
Laporan itu memaklumkan kelewatan itu memberikan risiko kepada serahan fizikal atau PHO terawal LCS 1 yang dijadualkan 26 Ogos lalu atau sasaran baharu pada 26 Disember depan.
Mengulas lanjut, LUNAS memaklumkan beberapa kontrak pelengkap yang kritikal untuk mencapai PHO mengikut spesifikasi kontrak tidak termasuk dalam skop sedia ada pihaknya.
Katanya, ia perlu dikontrakkan secara langsung oleh Kementerian Pertahanan kepada pembuat peralatan asal (OEM) melibatkan pembekalan peluru berpandu SSM, Peluru Berpandu Permukaan ke Udara (SAM), peluru bagi Sistem Pelancaran Umpan Bersepadu (IDLS) dan peluru bagi Meriam Berkaliber Sederhana (MGC).
“Keupayaan ini merupakan komponen penting dalam aktiviti pengujian, pentauliahan dan penerimaan yang perlu diselesaikan sebelum penyerahan kapal.
“Begitu juga, walaupun Surat Setuju Terima (SST) bagi pakej Sokongan Logistik Bersepadu dan Bantuan Ujian (ILS-TA) telah dikeluarkan pada Ogos 2025, kontrak itu hanya dimuktamadkan dan ditandatangani 12 bulan kemudian, iaitu pada Ogos 2026.
“Memandangkan aktiviti latihan adalah sebahagian penting daripada skop ILS-TA, adalah tidak praktikal atau munasabah untuk mengharapkan keseluruhan program latihan diselesaikan sebelum kontrak ditandatangani kerana kontrak yang berkuat kuasa dengan jadual pelaksanaan penuh diperlukan sebelum LUNAS dan syarikat OEM boleh memberikan komitmen terhadap tawaran dan pelaksanaan,” katanya.
Bagaimanapun, LUNAS berkata, pihaknya kekal komited dan secara konsisten bertindak selaras dengan kontrak pembinaan selain telus dalam menyampaikan perkembangan program dan telah menggunakan mekanisme kontrak tersedia untuk menangani keadaan di luar kawalan.
“LUNAS menerima sepenuhnya akauntabiliti terhadap obligasi yang diamanahkan kepadanya di bawah kontrak. Pada masa yang sama, akauntabiliti mestilah dinilai secara adil dan objektif dengan mengambil kira tanggungjawab masing-masing bagi semua pihak yang berkontrak serta proses kontrak yang telah ditetapkan dan dipersetujui oleh pihak-pihak berkenaan,” katanya. – UTUSAN











