PASIR PUTEH: Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap seekor kucing di kediamannya, susulan penularan video kejadian itu di platform media sosial Threads.
Suspek berusia 49 tahun itu ditahan sepasukan anggota dalam serbuan pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Saari Yaacob berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan pecah rumah.
Katanya, akan dibawa ke Mahkamah Pasir Puteh esok bagi mendapatkan perintah reman.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kami memandang serius kejadian itu dan sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti fakta sebenar,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Saari memberitahu, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan semula video berkenaan bagi mengelakkan penyebaran kandungan tidak wajar serta tidak menjejaskan siasatan.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 55 saat dalam media sosial memaparkan dakwaan perbuatan jijik dilakukan oleh seorang lelaki terhadap haiwan itu.-UTUSAN











