PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan penulis blog, Papagomo bagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 [Akta 15].
Menurut AGC, keputusan itu dibuat selepas meneliti keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang bersidang di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor, hari ini.
“Setelah meneliti keputusan Hakim Mahkamah Sesyen tersebut, jabatan ini memutuskan untuk memfailkan Notis Rayuan bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan tersebut dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Hakim Siti Aminah Ghazali melepas dan membebaskan Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris, 43, selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Menurut AGC, pihak pendakwaan sebelum ini turut merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 3 September 2025 yang melepas dan membebaskan tertuduh pada akhir kes pendakwaan.
Katanya, rayuan terhadap keputusan berkenaan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2025 sebelum mahkamah membenarkan rayuan Pendakwa Raya pada 31 Julai lalu.
“Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan rayuan Pendakwa Raya dan memerintahkan tertuduh membela diri setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tersebut secara prima facie,” katanya.
AGC berkata, Wan Muhammad Azri kemudiannya mengemukakan pembelaan dengan memberikan keterangan secara bersumpah di Mahkamah Sesyen sama.
Menurutnya, tertuduh yang merupakan satu-satunya saksi pembelaan mengakui mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan seperti dipertuduhkan dan hanya mengemukakan pembelaan berbentuk penafian semata-mata.
Mengikut pertuduhan, Wan Muhammad Azri didakwa menyebut kata-kata menghasut yang antara lain mengaitkan kerajaan yang memerintah sebagai pro-Israel dan negara Barat menerusi laman sosial Facebook ‘Halid Hamidi (Halid Mat Kool)’.
Kenyataan itu kemudian dilihat seorang individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada pukul 1 petang, 8 November 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN











