PETALING JAYA: Sime Darby Property Bhd. (SDP) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Sime Darby Property (Kulai) Sdn. Bhd. bercadang mengambil alih dua lot tanah pegangan bebas seluas kira-kira 225.4 hektar di Kulai, Johor daripada SD Guthrie Bhd. pada harga RM418.5 juta.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, SDP berkata, tanah itu dicadangkan bagi pembangunan kediaman bertanah dan komersial, sekali gus memperkukuh kehadiran kumpulan hartanah itu di Johor serta memperluas saluran pembangunan masa hadapannya.
Katanya, cadangan pengambilalihan itu selaras dengan strategi transformasi SHIFT32 kumpulan untuk memperluas kehadiran serantau dan mempelbagaikan portfolio hartanahnya.
“Tanah berkenaan terdiri daripada Plot A1 dan Plot A2, terletak kira-kira lima kilometer (km) di timur laut pusat bandar Kulai dan 33 km di barat laut pusat bandar Johor Bahru, selain bersebelahan Bandar Putra, sebuah bandar bersepadu yang telah dibangunkan.
“Ia turut terletak dalam Zon Flagship F (Kulai-Sedenak) di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang dikhususkan untuk pembangunan rantaian bekalan kecerdasan buatan dan teknologi kuantum serta pembuatan peranti perubatan dan farmaseutikal,” katanya.
SDP berkata, lokasi strategik itu, ditambah dengan akses kepada infrastruktur pengangkutan utama serta kemudahan industri, komersial dan penjagaan kesihatan di kawasan sekitarnya dijangka menyokong permintaan terhadap pembangunan kediaman dan komersial pada masa hadapan.
Menurutnya, pertumbuhan ekonomi Johor, khususnya dalam sektor pembuatan, logistik dan pusat data turut dijangka menyokong prospek pembangunan tanah berkenaan.
“Harga pembelian RM418.5 juta itu mewakili diskaun kira-kira 4.23 peratus berbanding nilai pasaran RM437 juta yang ditentukan oleh penilai bebas, JLW berdasarkan kaedah perbandingan.
“Harga berkenaan ditentukan berdasarkan prinsip pembeli rela dan penjual rela, dengan mengambil kira nilai pasaran tanah serta potensi pembangunannya berdasarkan zon guna tanah kediaman,” ujarnya.
Kumpulan berkata, daripada jumlah balasan itu, RM75.3 juta atau 18 peratus telah dibayar pada 11 Ogos 2026 iaitu tarikh perjanjian jual beli dimeterai, menggunakan gabungan dana dalaman dan pinjaman
Tambahnya, baki harga pembelian akan dibayar sepenuhnya secara tunai dalam tempoh penyempurnaan, menggunakan dana yang dijana secara dalaman dan/atau pinjaman.
Jelasnya, cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai pada suku kedua 2027.
Setakat 30 Jun 2026, kumpulan itu mempunyai tunai dan kesetaraan tunai sebanyak RM822.2 juta, manakala jumlah pinjamannya berjumlah RM4.82 bilion. – UTUSAN











