PETALING JAYA: Pusat Kajian Media dan Komunikasi (MENTION), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyasarkan kutipan sumbangan RM50,000 daripada alumni menerusi Tabung Jubli Emas MENTION UKM yang dilancarkan sempena sambutan 50 tahun pengajian media universiti itu baru-baru ini.
Sambutan itu menghimpunkan kira-kira 300 alumni yang mengikuti pengajian media di UKM sejak 1976, sekali gus meraikan lima dekad perjalanan bidang pengajian berkenaan di universiti itu.
Pro Naib Canselor (Strategi dan Kelestarian) UKM, Profesor Datuk Dr. Roslee Rajikan berkata, tabung itu diwujudkan bagi memperkukuh pembangunan akademik, penyelidikan, kebajikan pelajar serta kecemerlangan MENTION.
Menurutnya, inisiatif tersebut turut membuka ruang kepada alumni dan rakan strategik untuk menyokong pembangunan generasi pelajar masa hadapan.
“Sambutan jubli emas ini membawa makna yang lebih besar daripada sekadar meraikan usia penubuhan.
“Sebaliknya, ia merupakan penghargaan terhadap sumbangan semua pihak yang telah membina reputasi pengajian media UKM, selain membuka ruang untuk memperkukuh kerjasama antara universiti, alumni dan industri media,” katanya.
Selain pelancaran tabung, sambutan itu turut menyaksikan pelancaran buku khas yang mendokumentasikan perjalanan, pencapaian dan perkembangan pengajian media di UKM sepanjang lima dekad.
Roslee berkata, penerbitan tersebut diharap menjadi sumber rujukan mengenai sejarah institusi, sumbangan tokoh akademik dan pengalaman alumni, selain merakamkan perubahan landskap media seiring dengan perkembangan teknologi serta pendigitalan.

Perhimpunan itu turut mempertemukan bekas pelajar daripada pelbagai latar belakang kerjaya, di samping membuka peluang untuk berkongsi pengalaman dan memperkukuh jaringan profesional.
Sambutan jubli emas berkenaan diharap dapat memperkukuh kedudukan MENTION UKM sebagai pusat kecemerlangan akademik dan penyelidikan, selain meneruskan usaha melahirkan pengamal media yang berwibawa, beretika dan berintegriti.











