KUALA LUMPUR: Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan dan Setiausahanya serta kerajaan negeri itu telah memfailkan permohonan memohon Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan 16 yang lain dikenakan tindakan menghina mahkamah (komital).
Permohonan bagi mendapatkan kebenaran komital itu difailkan melalui saman pemula oleh DKU, Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin dan Kerajaan Negeri Sembilan selaku plaintif pada 15 Oktober lalu melalui firma guaman, Tetuan Halim & Ismail di Mahkamah Tinggi Seremban.
Selain Ismail, mereka yang dicadangkan sebagai individu yang menghina mahkamah ialah bekas Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Thahak; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Shahbandar Sungai Ujong, Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.
Ini merupakan permohonan komital keempat membabitkan Mubarak, Maarof, Muhammed, Abdul Rahim, Syed Razman dan Badarudin.
Bagi permohonan komital yang terbaharu, 10 bekas exco kerajaan negeri turut dinamakan dalam permohonan itu iaitu Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon dan Siti Nur Umaira Hasim.
Turut dinamakan ialah Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd. Razi Mohd. Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.
Menurut permohonan yang difailkan, pemohon memaklumkan bahawa terdapat perintah injunksi sementara (ad interim) berkait dengan saman pemula yang dfailkan oleh Mubarak, Maarof, Muhammed, Abdul Rahim, Syed Razman dan Badarudin.
Pada 19 April lalu, Undang Yang Empat mengeluarkan Proklamasi (Proklamasi 19 April) di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) bagi menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar namun didakwa tidak sah selepas Mubarak dikatakan telah dipecat dari jawatannya sebelum proklamasi itu dilakukan.
Pada 5 Mei lalu, Mubarak dan lima lagi memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Seremban bagi mendapatkan salinan minit mesyuarat khas DKU yang diadakan pada 17 April lalu berkait dengan keputusan untuk melucutkan Mubarak sebagai Undang Luak Sungai Ujong.
Pada 5 Jun lalu, Mahkamah Tinggi sama mengeluarkan perintah injunksi ad interim dalam saman pemula bagi mengekalkan status quo, khususnya komposisi DKU dan kedudukan Raja Norazli sebagai setiausahanya, sementara menunggu keputusan mahkamah berhubung isu bidang kuasa serta pertikaian yang boleh diadili, dan sehingga perintah mahkamah selanjutnya.
Menurut pemohon, sehingga hari ini perintah bertarikh 5 Jun itu masih berkuat kuasa.
Bagaimanapun, pada 5 September lalu, Mubarak dan lima lagi Undang telah mengeluarkan kenyataan yang antara lain mengumumkan bahawa Tuanku Muhriz telah diturunkan takhta dan bahawa Tunku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar telah dipilih dan diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Ke-12 dengan serta-merta.
Penurunan takhta dan pelantikan itu didakwa telah sempurna apabila Ismail yang dilantik menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu telah menandatangani surat cara proklamasi pada 3 Ogos lalu.
Pada sidang akhbar yang sama, Mubarak dan lima lagi turut mengarahkan pentadbiran kerajaan negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mengambil langkah-langkah segera bagi melaksanakan pengumuman tersebut
Pemohon mendakwa, Mubarak, Maarof, Muhammed, Abdul Rahim, Syed Razman, Badarudin dan Ismail terikat dengan perintah injunksi ad interim dan tindakan mereka pada September lalu merupakan pelanggaran kepada perintah tersebut.
Sementara itu, DKU dan Raja Norazli menyatakan 10 bekas exco kerajaan negeri itu bukan pihak asal dalam saman pemula tersebut namun wajar dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana walaupun mengetahui terdapat perintah injuksi tersebut, mereka masih lagi melakukan suatu tindakan yang membantu, menyebabkan pelanggaran injunksi tersebut.
Tindakan yang dikatakan membantu kepada pelanggaran perintah injunksi tersebut ialah keputusan kolektif yang dibuat 10 bekas Exco itu dalam mengeluarkan kenyataan bertarikh 15 September lalu yang turut mengumumkan Tuanku Muhriz telah diturunkan takhta dan bahawa Tunku Nadzaruddin diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Ke-12 dengan serta-merta.
Sehubungan itu, plaintif memohon agar kebenaran memulakan tindakan menghina mahkamah terhadap mereka yang dinamakan diberikan mengikut Aturan 52 Kaedah 3 dan 4 Kaedah Kaedah Mahkamah 2012. – UTUSAN











