KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menjelaskan asas Perlembagaan yang digunakan bagi menamatkan perkhidmatan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan, susulan dakwaan tindakan itu bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Negeri.
Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, isu itu perlu diperjelaskan terutama berhubung Perkara 71(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh jaminan Persekutuan terhadap perlembagaan negeri.
Beliau mendakwa, penamatan perkhidmatan 10 Exco berkenaan tidak mematuhi Perkara 38(5) Perlembagaan Negeri Sembilan yang memperuntukkan pelantikan ahli Exco selain Menteri Besar boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Besar atas nasihat Menteri Besar.
“Setakat yang kita difahamkan, tiada nasihat diberikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan kepada Yang di-Pertuan Besar untuk menamatkan perkhidmatan 10 ahli Exco ini.
“Jika Port Dickson boleh membuktikan sebaliknya, buktikanlah. Namun, kita difahamkan tiada nasihat diberikan,” katanya ketika membahas Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Takiyuddin turut mempersoalkan kenyataan Peguam Negara yang menyifatkan tindakan berkenaan sah di sisi Perlembagaan, sedangkan dakwanya, tindakan itu tidak selari dengan peruntukan perlembagaan negeri.
“Saya ingin bertanya kepada Peguam Negara, Perlembagaan mana yang dirujuk sehingga tindakan itu dianggap sah?
“Justeru, saya meminta kerajaan, khususnya Menteri Undang-Undang, menjelaskan Perkara 71(1) dan (2), selain asas yang digunakan Peguam Negara untuk menyatakan tindakan di Negeri Sembilan itu selaras dan sah di sisi Perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata, Perkara 71(1) memperuntukkan jaminan Persekutuan terhadap hak raja sesebuah negeri untuk menaiki takhta serta menjalankan hak istimewa mengikut perlembagaan negeri berkenaan.
Katanya, Perkara 71(2) pula memperluas pemakaian peruntukan itu, dengan pengubahsuaian yang perlu, kepada pembesar yang memerintah Negeri Sembilan.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada kerajaan Persekutuan menjamin perlembagaan negeri dilaksanakan tanpa campur tangan dalam urusan yang tertakluk kepada peruntukan berkenaan.
“Isu perlembagaan ini wajar dibincangkan di Dewan ini kerana pindaan Perlembagaan Persekutuan dibuat di Parlimen, manakala perlembagaan negeri dibincangkan di Dewan Undangan Negeri,” katanya. – UTUSAN











