DKU Negeri Sembilan fail permohonan komital baharu terhadap MB, 16 yang lain - Utusan Malaysia

DKU Negeri Sembilan fail permohonan komital baharu terhadap MB, 16 yang lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan serta setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin, mengemukakan permohonan baharu untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Menteri Besar dan 16 yang lain.

Permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban pada 15 Oktober lalu dengan menamakan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), serta enam plaintif dalam pertikaian undang-undang membabitkan DKU.

Enam plaintif berkenaan ialah tiga Undang yang dipertikaikan iaitu Datuk Mubarak Thahak, Datuk Maarof Mat Rashad dan Datuk Abd Rahim Yasin, serta Undang Johol yang sedang berkhidmat, Datuk Muhammed Abdullah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dua lagi, Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.

Pemohon mendakwa 17 individu yang dituduh menghina mahkamah, melanggar atau bertindak menjejaskan perintah injunksi Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan pada 5 Jun lalu, berhubung pentadbiran dan hal ehwal DKU.

Injunksi berkenaan menghalang enam plaintif terbabit daripada membuat atau melaksanakan keputusan berhubung DKU, atau mengambil langkah yang boleh mengubah status quo badan itu seperti mana pada sebelum 21 Mei.

Bagaimanapun, pemohon mendakwa keenam-enam plaintif itu terus mengambil langkah untuk melaksanakan pengisytiharan bertarikh 19 April lalu berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, walaupun injunksi masih berkuat kuasa.

Mereka membangkitkan siri kenyataan media dan sidang akhbar antara 5 September hingga 11 Oktober lalu, di mana enam plaintif terbabit didakwa mempertahankan bahawa pengisytiharan itu adalah sah dan berkesan.

Pemohon seterusnya mendakwa, Ismail dan 10 bekas EXCO berkenaan secara sedar mengambil langkah untuk melaksanakan pengisytiharan terbabit, sekali gus menggagalkan tujuan perintah mahkamah.

Antara tindakan dinyatakan ialah, Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada 15 September lalu, di mana keputusan kolektif didakwa dibuat bahawa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir diturunkan dari takhta dan Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Tuanku Ja’afar diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.

Pemohon mendakwa, keputusan itu adalah campur tangan dalam pentadbiran dan hal ehwal DKU, yang melanggar injunksi 5 Jun.

Mereka juga memetik surat bertarikh 17 September lalu daripada Ismail kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, yang didakwa mengulangi keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta memohon supaya perkara itu dibawa ke pengetahuan Raja-Raja Melayu.

Permohonan itu turut merujuk kepada keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 22 September untuk menggantung Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal, berkuat kuasa serta-merta.

Pemohon mendakwa, tindakan itu diambil walaupun Ismail dan bekas EXCO sudah dimaklumkan mengenai injunksi berkenaan menerusi surat dikeluarkan peguam mereka pada 16 September lalu.

Mereka menghujahkan bahawa individu yang bukan pihak dalam prosiding asal masih boleh dipertanggungjawabkan atas kesalahan menghina mahkamah, sekiranya mereka secara sedar membantu melanggar injunksi atau bertindak menggagalkan tujuannya.

Mahkamah Rayuan sudah membenarkan penangguhan sementara pada 29 Julai terhadap prosiding komital substantif terdahulu yang membabitkan enam plaintif berkenaan.

Bagaimanapun, pemohon mengekalkan pendirian bahawa penangguhan itu tidak menjejaskan injunksi pada 5 Jun, yang kekal berkuat kuasa.

Mahkamah Rayuan akan menetapkan 4 November ini untuk menyampaikan keputusannya mengenai permohonan penangguhan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini