PETALING JAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad menzahirkan rasa syukur kepada Allah kerana meminjamkan Tun Dr. Siti Hasmah Mohamed Ali sebagai isterinya selama lebih 70 tahun.
Dalam catatan ringkas di Facebook miliknya, bekas Perdana Menteri itu terharu dengan sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia susulan pemergian Dr. Siti Hasmah pada 28 September lalu.
Dr. Mahathir berkata, orang ramai tidak putus-putus mengirimkan doa yang dipanjangkan kepada Allahyarham Dr. Siti Hasmah sehingga hari ini ke mana-mana saja beliau pergi termasuklah di pusara isterinya.
“Ia mengingatkan saya, di dalam kesedihan yang begitu memedihkan, supaya saya terus bersyukur kepada Allah SWT kerana telah meminjamkan (Dr. Siti) Hasmah sebegitu lama sehingga ke usia saya yang cuma masih tersisa sedikit sebanyak ini,” katanya hari ini.
Beliau juga mengambil kesempatan itu mewakili ahli keluarganya untuk menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu menyempurnakan urusan pengebumian Dr. Siti Hasmah tempoh hari.
Beliau juga meminta maaf sekiranya tidak dapat memberi respon baik kepada orang ramai yang bertemu dengannya sejak pemergian Dr. Siti Hasmah.
“Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk meminta maaf jika sepanjang tempoh ini ada salam yang tidak saya sambut, lambaian yang tidak saya balas serta ucapan takziah yang belum saya jawab,” katanya.
Dalam catatan sama, Dr. Mahathir juga berkongsikan keadaannya semakin baik namun masih belum cukup kuat untuk Kembali bekerja.
“Sehari dua ini saya cuba ke pejabat tetapi upaya masih belum begitu kuat,” katanya.
Pada 28 September lalu, Dr. Siti Hasmah disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada pukul 9.20 pagi.
Allahyarham Dr Siti Hasmah, menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak.
Beliau dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya. – UTUSAN











