KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Nur Fazura, mengakui hubungannya dengan aktor, Que Haidar, terjalin atas dasar persahabatan yang sudah lama dibina.
Malah, akuinya, mereka sudah saling mengenali sikap dan perangai masing-masing selepas lebih 20 tahun bersahabat.
Menurut Fazura, hubungan rapat itu membolehkan mereka memahami antara satu sama lain, namun soal jodoh diserahkan kepada ketentuan Allah SWT, selain sentiasa mendoakan yang terbaik.
“Pilihlah jodoh yang diredai Allah. Kalau dia orangnya, maka dialah orangnya. Kalau orang lain, maka orang lainlah. Apa-apa pun, kita berdoa agar semuanya baik-baik.
“Kami pun sudah lama mengenali satu sama lain. Lebih 20 tahun, sejak zaman kegemilangan dahulu. Jadi, kami sudah tahu perangai masing-masing luar dan dalam,” katanya.
Dalam pada itu, Fazura menjelaskan pertemuan bersama keluarga masing-masing bukan sesuatu yang perlu dipandang pelik, sebaliknya menjadi peluang untuk mengeratkan hubungan silaturahim.
Katanya, mereka masing-masing mempunyai ramai sahabat dan pertemuan bersama keluarga boleh menjadi ruang untuk merapatkan lagi hubungan antara kedua-dua belah pihak.
“Que mempunyai ramai sahabat, begitu juga saya. Jadi, apabila kita bertemu dengan keluarga masing-masing, apa salahnya kita mengeratkan lagi hubungan antara keluarga saya dengan keluarga Que?
“Mungkin juga di sebalik tabir, kami bersama sahabat-sahabat lain turut bertemu dengan keluarga masing-masing.
“Namun, Alhamdulillah. Apa salahnya? Bukankah umat Islam sentiasa digalakkan untuk menjalinkan dan mengeratkan silaturahim?” katanya.










