Buruh ‘pegang’ badan adik perempuan kena dakwa

Buruh ‘pegang’ badan adik perempuan kena dakwa

TERTUDUH semasa hadir ke mahkamah untuk prosiding pertuduhan di Mahkamah Seysen, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap adik perempuannya yang berusia 17 tahun di sebuah rumah di Machang, dekat sini pada Disember dan April lalu.

Tertuduh yang berusia 27 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual dengan menyentuh bahagian badan seorang kanak-kanak perempuan yang ketika kejadian berusia 16 tahun 11 bulan dan 17 tahun dua bulan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Banggol Judah dekat Machang kira-kira pukul 8 malam hingga 9 malam pada Disember 2025 dan April 2026.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Arina Razali manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Zuhaidie Akmal Hasan Basri.

Terdahulu, Siti Arina mencadangkan ikat jamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan mengabil kira hubungan tertuduh dan mangsa adalah adik-beradik.

Zuhaidie Akmal dalam rayuannya memohon jaminan yang minimum dengan alasan tertuduh yang masih bujang hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM1,200 sebulan.

“Tertuduh bekerja sebagai buruh dengan bapa saudaranya dan tinggal di Machang. Mangsa dalam kes ini yang merupakan adiknya tinggal di kampung berhampiran dengan jarak kedua-dua lokasi itu kira-kira 10 kilometer.

“Tertuduh juga sudah memberi kerjasama selepas dibebaskan dengan jamin polis pada September lalu. Justeru, tiada kemungkinan untuk tertuduh mengganggu mangsa,” katanya.

Mahkamah  membenarkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di Balai Polis Machang dua bulan sekali, tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 17 November ini untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar ikat jamin tersebut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini