SHAH ALAM: Pelakon dan pengacara, Janna Nick mengakui sebak selepas mengetahui rahsia sahabat baiknya, Bella Astillah pernah menitiskan air mata ketika menghadiri majlis kesyukuran perkahwinannya, dua tahun lalu.
Janna, 31, mendedahkan perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Bella kepadanya ketika mereka bertemu di sebuah acara Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Petronas Sepang, baru-baru ini.
Menurut pelakon Melastik Ke Hatimu itu, dia sama sekali tidak menyangka Bella menyembunyikan kesedihan di majlisnya namun gembira selepas melihat sahabatnya itu bertemu jodoh dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
“Dia ada beritahu saya mengenai perkara itu semasa kami berjumpa di litar F1. Sejujurnya saya sangat sebak apabila mendengar pengakuannya.
“Sebagai tuan rumah, sudah tentu kita mahu setiap tetamu yang hadir meraikan majlis dengan rasa gembira, tetapi rupanya dia datang dalam keadaan menanggung kesedihan yang berturut-turut ketika itu.
“Saya rasa ralat untuknya apabila mengetahui situasi sebenar. Bagaimanapun, dalam kesedihan itu, saya bersyukur kerana Allah akhirnya menggantikan segala kesedihannya dengan sesuatu yang jauh lebih baik sekarang. Kita semua patut tumpang gembira untuknya,” katanya.
Janna berkata demikian ketika ditemui pada acara Anugerah Melodi Terhangat (AMT) yang berlangsung di Selangor International Trade Centre (SITC), di sini malam tadi.
Mengulas mengenai majlis kesyukuran Bella dan Syed Saddiq yang berlangsung semalam, penyanyi lagu Mungkin Saja itu menzahirkan rasa terkilan kerana tidak dapat menghadirkan diri berikutan komitmen kerja sebagai penyampai anugerah.
Ujarnya, jika tidak memikirkan tanggungjawab profesional yang telah dipersetujui lebih awal, sudah pasti dia mahu berada di sisi Bella untuk menyaksikan momen bersejarah tersebut.
“Sepatutnya saya dijemput ke majlis Bella, tetapi saya ralat tidak dapat hadir. Kalau boleh belah dua badan, saya mahu ada di kedua-dua majlis sekali gus.
“Namun saya terpaksa akur kerana sudah berjanji untuk menjadi penyampai anugerah di sini. Jika saya hanya sekadar calon, mungkin saya sudah berada di sana bersama Bella.
“Dalam pada itu, saya juga gembira dapat bertemu rakan-rakan industri yang sudah lama tidak berjumpa di sini,” jelasnya lagi.
Mendoakan yang terbaik buat pasangan pengantin baharu itu, Janna berharap mahligai yang dibina Bella dan Syed Saddiq kekal utuh sehingga ke akhir hayat.
“Saya sangat gembira melihat kebahagiaan Bella sekarang. Doa saya yang terbaik buat Syed Saddiq dan Bella Astillah. Semoga perkahwinan mereka kekal bahagia hingga ke syurga,” ujarnya.
Terdahulu, tular semula video lama di media sosial yang memaparkan Bella Astillah gagal menahan air mata sambil menyebut ungkapan ‘I want one’ (saya mahu satu) ketika menghadiri majlis kesyukuran Janna Nick dan Dini Schatzmann, dua tahun lalu.
Rata-rata warganet menyifatkan momen hiba tersebut sebagai satu doa yang akhirnya dimakbulkan tuhan pada hari ini.
Dalam perkembangan lain, malam kemuncak Anugerah Melodi Terhangat turut menyaksikan Janna dan suaminya, Dini Schatzmann masing-masing membawa pulang trofi bagi kategori Selebriti Couple Goals Terhangat. -UTUSAN











