SHAH ALAM : Aktres dan penyanyi, Anna Jobling diangkat sebagai penerima hadiah utama Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2026 yang berlangsung di Selangor International Trade Centre (SITC), pada Ahad.
Anugerah utama itu diberikan bagi mengiktiraf kerjaya Anna yang dianggap sebagai figura berpengaruh dalam liga tersendiri dan mencetus momen tular serta menerima sokongan kuat peminat sepanjang tahun.
Tidak hanya itu, Anna Jobling turut membawa pulang trofi Selebriti Feminin Terhangat.
“Sekali lagi saya ucapkan terima kasih penganjur iaitu TV3 dan Tonton.
“Kepada peminat saya, saya sayang awak semua, juga buat ibu bapa dan pihak pegurusan saya, terima kasih semua, selamat malam,” katanya selepas diumumkan sebagai pemenang.
Sementara itu, malam kemuncak turut menyaksikan kategori Selebriti Couple Goals Terhangat pula diraih oleh Janna Nick dan Dini manakala Selebriti Chemistry Terhangat dimenangi Hael dan Dayang.
Bagaimanapun, rezeki bagi kategori Keluarga Selebriti Terhangat disandang Ain Edruce.
Bagi kategori lain, Selebriti Viral Terhangat dimenangi Aisha Retno manakala Meerqeen membawa pulang trofi Selebriti Stailo Terhangat.
Fattah Amin pula terus mempertahankan aura sebagai Selebriti Maskulin Terhangat.
Pelakon, Zaki Yamani merangkul Fresh Rising Star Terhangat Darlie manakala menepati ramalan, Selebriti Fit Terhangat disandang Alif Satar.
Selebriti Muzik Terhangat kekal disandang Khai Bahar manakala Muzik Terhangat dimenangi Nurcinta nyanyian Amir Masdi
Kategori Tonton Original Terhangat dimenangi drama Neraka Yang Terhijab, manakala Yes Captain Zul Aryaan menang kategori Drama Sangat Terhangat.
Direktor & Filem Terhangat dimenangi oleh Bobby Husaini menerusi filem Libang Libu.
Sementara itu Selebriti Ikon Inspirasi Terhangat CUCKOO dibawa pulang Hael Husaini.
Acara anugerah berprestij itu dikemudi hos Ain Edruce dan Kamal Adli dan diserikan persembahan Misha Omar, Ernie Zakri, Nadeera, DOLLA, Haqiem Rusli, dan Aisha Retno.
Malam tadi menyaksikan 13 anugerah telah disampaikan sementara empat anugerah lain iaitu Keluarga Selebriti Terhangat, Selebriti Fit Terhangat, Selebriti Chemistry Terhangat dan Selebriti Mandarin Terhangat bakal diumumkan pada CUCKOOTOPIA: Konsert Penghargaan Ulang Tahun Ke-12.
Konsert tersebut bakal berlangsung pada 24 Oktober di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. -UTUSAN











