PETALING JAYA: Selangor FC terus menghambat kedudukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perebutan takhta Liga Super selepas menewaskan Penang FC 3-1 untuk mencatat kemenangan kelima berturut-turut di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kelmarin.
Kemenangan itu menyaksikan Gergasi Merah setakat ini mengumpul 15 mata untuk berkongsi mata dengan JDT tetapi kekal di tangga kedua berbekalkan perbezaan jaringan yang memihak skuad Harimau Selatan.
Prestasi konsisten itu turut memperlihatkan perkembangan positif Selangor di bawah kendalian Kim Pan Gon, sekali gus mengukuhkan reputasi mereka sebagai pencabar utama dominasi JDT yang menjuarai Liga Super selama 12 musim berturut-turut sejak 2014.
Pan Gon menyifatkan kemenangan ke atas Penang membawa makna tersendiri kerana hadir pada perlawanan ke-2,000 dalam sejarah Selangor, sekali gus menjadi hadiah istimewa buat penyokong kelab itu.
“Ini perlawanan ke-2,000 kami dan kemenangan ini sangat bermakna. Setahu saya, perlawanan pertama Selangor juga menentang Pulau Pinang dan kami menang. Kini, pada perlawanan ke-2,000, kami menang lagi menentang mereka,” katanya.
Jurulatih dari Korea Selatan itu berkata, rentetan lima kemenangan berkenaan membuktikan pemain semakin memahami falsafah serta corak permainan yang diterapkannya.
“Dari perlawanan ke perlawanan, pemain semakin menyesuaikan diri. Beberapa pemain baharu yang menyertai kami musim ini juga semakin serasi dengan pasukan.
“Saya gembira melihat perkembangan itu, tetapi ini baru langkah pertama. Masih banyak perlawanan sukar menanti, jadi kami perlu kekal merendah diri, terus bekerja keras dan fokus menghadapi aksi seterusnya,” katanya. – UTUSAN











