PETALING JAYA: Petarung Muay Thai negara, Mohammad Rifdean Masdor menjelaskan beberapa rakan tampil membantunya sepanjang berada di Jepun selepas masalah teknikal menghalang pasukan gimnasium Thailand yang melatihnya daripada mengiringi pertarungan menentang Nadaka Yoshinari.
Rifdean turut memohon maaf berhubung kenyataan terdahulu yang memberi gambaran dia hadir tanpa pasukan atau jurulatih, susulan kritikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ONE Championship, Chatri Sityodtong terhadap persiapannya.
Petarung berusia 24 tahun itu mengalami kekalahan menerusi techninal knock out (TKO) pada pusingan kedua ketika menentang Nadaka di ONE SAMURAI 4 di Ariake Arena, Tokyo, kelmarin.
Sebelum pertarungan itu, Rifdean terlebih dahulu kehilangan peluang merebut gelaran dunia Muay Thai ONE kategori atomweight selepas gagal melepasi ujian hidrasi Jumaat lalu, menyebabkan aksi berkenaan diteruskan pada catchweight.
Rifdean berkata, dia menjalani latihan intensif di sebuah gimnasium di Thailand sebagai persiapan menghadapi pertarungan tersebut.
“Bagaimanapun, disebabkan beberapa masalah teknikal yang tiada kaitan dengan kewangan, pasukan gimnasium itu tidak dapat mengiringi saya ke Jepun, jadi saya membawa beberapa rakan untuk membantu sepanjang kejohanan.
“Memandangkan mereka kurang pengalaman mengendalikan petarung profesional di pentas ONE Championship, saya memilih untuk tidak menghuraikan keadaan sebenar ketika sidang media,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun media sosialnya, semalam.
Rifdean turut memohon maaf kepada Chatri sekiranya keadaan itu menimbulkan tanggapan bahawa dia tidak profesional atau kurang komited dalam membuat persiapan.
Sebelum ini, Chatri menyuarakan rasa terkejut terhadap persiapan Rifdean yang disifatkannya tidak profesional kerana mendakwa petarung Malaysia itu hadir tanpa jurulatih, cornerman atau rakan sepasukan untuk memantaunya sepanjang minggu pertarungan. – UTUSAN











