Risikan jadi kunci bukti kes

Risikan jadi kunci bukti kes

PERISIKAN memainkan peranan penting dalam membanteras rasuah dengan meneliti setiap maklumat dan petunjuk sehingga menjadi bukti yang kukuh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA perisikan sentiasa sinonim dengan kerahsiaan,  penyamaran, penyusupan serta pergerakan di sebalik tabir yang jarang terdedah kepada khalayak umum. 

Bagi masyarakat, kejayaan sesuatu tindakan pencegahan rasuah lazimnya dilihat apabila berlaku operasi terbuka, tangkapan atau pendakwaan. Namun, di sebalik sesuatu kejayaan itu, terdapat proses perisikan yang bermula jauh lebih awal.

Bahagian Perisikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berperanan membangunkan maklumat daripada sekecil-kecil petunjuk sehingga menjadi asas pembentukan kes jenayah yang mempunyai impak dan asas pembuktian kukuh. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Peranan ini bukan sekadar mengesahkan maklumat yang diterima, sebaliknya meneliti, menganalisis dan menghubungkan setiap petunjuk bagi mengenal pasti kemungkinan wujudnya rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa.

 

SIASAT ISU

Kecemerlangan tugasan perisikan bergantung keupayaan pegawai melihat sesuatu isu melangkaui apa yang kelihatan pada permukaannya. Sebagai contoh, kegagalan kontraktor pembersihan mengutip sisa di taman perumahan mungkin dilihat sebagai isu kebersihan, bau atau ketenteraman awam semata-mata.

Namun, jika lori pengutip sisa hanya hadir dua atau tiga kali sebulan sedangkan jadwal ditetapkan tiga kali seminggu, adakah kontraktor masih membuat tuntutan bayaran penuh walaupun perkhidmatan tidak dilaksanakan mengikut spesifikasi?

Melalui penelitian dokumen, kontrak dan pemprofilan kewangan, isu yang kelihatan kecil boleh membuka ruang kepada penemuan tuntutan palsu, penyelewengan atau salah guna kuasa. 

Inilah antara peranan penting perisikan iaitu melihat kaitan antara sesuatu isu masyarakat dengan kemungkinan berlakunya pelanggaran tatakelola dan jenayah yang lebih besar.

 

SIASATAN BERASASKAN RISIKAN

Bagaimana membongkar jenayah secara tersembunyi, tanpa mangsa yang jelas dan melibatkan pihak yang sama-sama mempunyai kepentingan untuk merahsiakannya? Inilah antara cabaran utama dalam membanteras jenayah rasuah.

Pemberi dan penerima rasuah lazimnya memperoleh faedah daripada sesuatu transaksi, menyebabkan perbuatan tersebut berlaku secara sulit dan sukar dikesan.

Bagi SPRM, cabaran ini ditangani menerusi pendekatan Penyiasatan Berasaskan Perisikan (IBI), yang menjadi antara pendekatan utama dalam pelaksanaan operasi dan siasatan.

Melalui IBI, setiap operasi bermula dengan risikan awal yang komprehensif. Maklumat dianalisis menerusi penelitian dokumen dan minit mesyuarat, pemprofilan kewangan, rekod kewangan, pengawasan fizikal, teknik penyamaran serta penggunaan teknologi analisis moden. 

Maklumat yang diperoleh bukan sekadar dikumpulkan, sebaliknya dibangunkan secara sistematik sehingga menjadi asas kepada pembuktian.

Keunikan pendekatan ini ialah pelaksanaannya secara sehenti, daripada A hingga Z dalam satu bahagian. 

Bahagian Perisikan SPRM berperanan merisik, membangunkan maklumat, mengumpul bukti dan menjalankan siasatan menerusi pasukan khas. 

Pendekatan ini ibarat menyediakan bahan mentah sehingga memasak sesuatu hidangan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk penilaian.

Saksi dan bukti dokumen dikenal pasti serta disusun sejak peringkat awal, sekali gus membantu membentuk kertas siasatan yang lebih menyeluruh. 

Penilaian oleh TPR pula menjadi proses penting bagi memastikan kertas siasatan memenuhi keperluan undang-undang dan pembuktian.

Berdasarkan pengalaman Bahagian Perisikan, keberkesanan pendekatan ini turut dapat dilihat menerusi kadar keberhasilan pendakwaan yang dilaporkan mencecah antara 90 hingga 100 peratus.

Dalam memerangi jenayah rasuah yang unik, tersembunyi dan sukar dikesan, IBI memastikan setiap maklumat diteliti, setiap bukti dibangunkan dan setiap kes dibina secara menyeluruh, daripada risikan kepada pembuktian.

 

GUNA TEKNOLOGI AI 

Perkembangan teknologi turut mengubah landskap jenayah rasuah apabila pelaku semakin canggih memanfaatkan peranti peribadi dan teknologi untuk menyembunyikan jejak serta mengurus komunikasi.

Bagi mendepani cabaran tersebut, SPRM memperkukuh keupayaan analisis berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta memantapkan kerjasama rentas agensi bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Kerjasama sedemikian penting bagi mengelakkan pendekatan bekerja secara bersendirian, khususnya dalam menghadapi bentuk jenayah yang semakin kompleks dan menggunakan pelbagai medium serta teknologi.

Namun, kecanggihan teknologi tidak bermakna kaedah konvensional boleh diketepikan sepenuhnya. Pengawasan fizikal masih mempunyai peranan penting dan dalam keadaan tertentu perlu dilaksanakan secara berterusan selama 24 jam.

Gangguan teknikal seperti kegagalan isyarat atau peranti mudah alih yang ditutup boleh berlaku pada bila-bila masa. Keadaan ini menuntut ketahanan, pengorbanan fizikal serta kecekapan pegawai di lapangan untuk terus melaksanakan tugas tanpa henti.

 

MODAL INSAN 

Meskipun arus modenisasi menuntut penggunaan peralatan teknikal, analisis data dan pemanfaatan AI, namun keberkesanan Bahagian Perisikan SPRM tetap bersandarkan kepada pembangunan modal insan. 

Di hujung setiap proses analisis dan penggunaan teknologi canggih, faktor manusia tetap penting dalam memahami konteks, menilai petunjuk, menghubungkan maklumat dan membuat pertimbangan berdasarkan fakta serta bukti.

Justeru, setiap pegawai perlu dibentuk menjadi individu yang serba boleh, bijak, tangkas dan sentiasa bersedia menghadapi pelbagai situasi operasi.

Dalam persekitaran perisikan yang sentiasa berubah, keupayaan menyesuaikan diri dan membuat pertimbangan berdasarkan maklumat sedia ada merupakan antara kemahiran penting perlu dimiliki.

Di sebalik teknologi, peralatan dan sistem yang digunakan, manusia tetap menjadi penggerak utama proses perisikan. 

Pegawai yang berketerampilan dan berintegriti tinggi merupakan aset penting dalam memastikan usaha pencegahan rasuah terus dilaksanakan secara berkesan.

 

FAHAMI PERBEZAAN

Masyarakat juga perlu memahami dengan jelas garis panduan penyaluran maklumat agar proses risikan dan siasatan tidak terjejas. 

Terdapat perbezaan antara pengadu, pemberi maklumat dan whistleblower daripada segi konteks penyaluran maklumat serta perlindungan yang berkaitan.

Pengadu merupakan individu yang membuat aduan rasmi dengan identiti yang dikenal pasti dan boleh dipanggil untuk memberikan keterangan sebagai saksi dalam proses siasatan atau prosiding mahkamah, tertakluk keperluan sesuatu kes.

Pemberi maklumat pula menyalurkan maklumat kepada pegawai perisikan secara sulit. Maklumat tersebut boleh menjadi sumber penting dalam membangunkan risikan, khususnya bagi perkara yang sukar dikesan melalui saluran biasa.

Sementara itu, whistleblower merujuk individu yang mendapat perlindungan rasmi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, tertakluk kepada syarat dan peruntukan statutori yang ditetapkan.

Pemahaman terhadap perbezaan ini penting supaya masyarakat tidak mencampuradukkan status, fungsi dan bentuk perlindungan yang berkaitan dengan setiap kategori.

 

ERA MEDIA SOSIAL

Dalam era media sosial, masyarakat mempunyai ruang yang luas untuk berkongsi maklumat. Namun, penularan laporan atau aduan secara terbuka, khususnya ketika maklumat masih dalam proses pembangunan, berpotensi memberi kesan kepada proses perisikan dan siasatan.

Bahagian perisikan turut memberi perhatian terhadap kecenderungan sesetengah individu atau pencipta kandungan yang menularkan laporan atau aduan di media sosial demi mendapatkan manfaat atau atas motif tertentu.

Pendedahan terlalu awal boleh menjejaskan unsur kejutan yang penting dalam operasi perisikan. Ia berpotensi memberi amaran kepada pihak yang disyaki untuk mengambil tindakan seperti melupuskan dokumen, mengubah corak komunikasi atau mengganggu proses pengumpulan bukti.

Justeru, penyaluran maklumat melalui saluran yang betul memberi ruang kepada agensi penguatkuasa untuk menilai, mengesahkan dan membangunkan maklumat secara profesional tanpa menjejaskan proses operasi.

 

MEMBINA KEPERCAYAAN

Membina dan mengekalkan kepercayaan awal kekal sebagai cabaran penting Bahagia Perisikan SPRM. Dalam usaha membanteras rasuah, masyarakat memerlukan ruang untuk menyalurkan maklumat, manakala agensi penguatkuasa memerlukan ruang untuk menilai dan menyiasat maklumat tersebut secara profesional.

Perisikan bukan sekadar mengenai operasi, penyamaran atau teknologi canggih. Ia merupakan proses panjang yang bermula daripada satu petunjuk kecil, diikuti penelitian maklumat, analisis, pengawasan, penggunaan teknologi dan kepakaran manusia sebelum sesuatu kes dibangunkan untuk tindakan selanjutnya.

Akhirnya, kekuatan sesuatu sistem perisikan bukan hanya bergantung sejauh mana teknologi dapat digunakan tetapi juga keupayaan manusia membaca maklumat, memahami risiko dan bertindak berdasarkan bukti.

Dalam usaha membanteras rasuah, setiap maklumat mempunyai nilai dan setiap petunjuk berpotensi membawa kepada sesuatu yang lebih besar. –UTUSAN

 

DATUK  Saiful Ezral Arifin ialah Pengarah Kanan Bahagian Perisikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini