BELANJAWAN 2027 bertemakan Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi membawa matlamat untuk memastikan hasil reformasi ekonomi dapat dinikmati rakyat.
Peruntukan sebanyak RM459.8 bilion disediakan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi, meningkatkan pendapatan, memperkukuh bantuan bersasar dan memastikan kewangan negara kekal mampan.
Namun, kejayaan belanjawan bukan sekadar bergantung pada jumlah peruntukan atau banyaknya inisiatif diumumkan, sebaliknya ditentukan oleh keberkesanan pelaksanaannya.
Dalam hal ini, penjawat awam memainkan peranan penting sebagai penggerak dasar serta penghubung antara kerajaan dengan rakyat.
Antara tanggungjawab utama mereka ialah memastikan maklumat mengenai bantuan dan kemudahan disampaikan dengan jelas.
Unit Komunikasi Korporat di kementerian dan agensi perlu menerangkan syarat kelayakan, kaedah permohonan serta saluran mendapatkan bantuan melalui pendekatan yang mudah difahami, khususnya bagi penduduk luar bandar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Selain itu, persediaan awal perlu dilakukan supaya setiap inisiatif dapat dilaksanakan mengikut jadual sebaik sahaja peruntukan tersedia.
Kementerian dan agensi juga perlu mengurangkan kerenah birokrasi, mengelakkan permintaan dokumen berulang serta memanfaatkan teknologi bagi mempercepat urusan rakyat tanpa mengetepikan peraturan.
Integriti turut menjadi asas penting dalam pengurusan wang awam. Setiap peruntukan mesti digunakan mengikut tujuan yang diluluskan, manakala proses perolehan hendaklah dilaksanakan secara telus bagi mengelakkan pembaziran, ketirisan dan penyalahgunaan kuasa.
Pengurusan kewangan yang berhemat juga perlu disertai penggunaan tenaga kerja secara optimum agar setiap perbelanjaan memberikan pulangan yang setimpal.
Pada masa sama, keberkesanan pelaksanaan perlu dinilai melalui petunjuk prestasi yang jelas, pemantauan berkala dan maklum balas penerima manfaat. Sebagai contoh, peruntukan RM2.3 bilion untuk jalan desa dan RM3.3 bilion bagi prasarana asas perlu menghasilkan peningkatan nyata dari segi akses penduduk kepada sekolah, klinik, bekalan air dan elektrik.
Penjawat awam juga wajar melihat tanggungjawab ini sebagai peluang membalas kepercayaan kerajaan melalui perkhidmatan yang cekap, amanah dan berhemah, selaras dengan usaha meningkatkan kebajikan mereka.
Belanjawan 2027 hanya akan mencapai matlamatnya apabila setiap dasar diterjemahkan kepada manfaat sebenar untuk rakyat. Komitmen penjawat awam, disokong tadbir urus yang baik dan pemantauan berkesan, menjadi kunci memastikan setiap ringgit dibelanjakan membawa perubahan positif kepada kehidupan masyarakat. –UTUSAN
NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)
Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat (PSPK)
Universiti Putra Malaysia (UPM)











