KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus mencipta kejayaan dalam landskap pendidikan tinggi antarabangsa apabila berada pada kedudukan 701 hingga 710 dunia dalam QS World University Rankings 2027.
Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Suriyani Muhamad berkata, pencapaian itu mencerminkan peningkatan kualiti akademik, penyelidikan, reputasi antarabangsa serta impak universiti terhadap masyarakat.
Menurutnya, kepakaran UMT dalam bidang marin turut mendapat pengiktirafan apabila universiti itu menduduki tempat pertama di Malaysia, ke-21 di Asia dan ke-90 dunia bagi bidang Marine and Freshwater Biology.
“Pencapaian ini menjadi pemangkin kepada UMT untuk terus meningkatkan kecemerlangan akademik dan penyelidikan, selain memperluas sumbangannya dalam agenda Ekonomi Biru negara.
“Sebagai universiti yang mempunyai kepakaran dalam bidang marin dan maritim, UMT mempunyai peranan strategik dalam menyumbang kepada pembangunan Ekonomi Biru negara.
“Kita mahu hasil penyelidikan universiti bukan sekadar diterbitkan dalam jurnal, tetapi turut dimanfaatkan oleh kerajaan, industri dan komuniti, khususnya masyarakat pesisir pantai,” katanya ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen Ke-24 UMT di Dewan Sultan Mizan, di sini.
Konvokesyen kali ini turut meraikan sambutan Jubli Perak penubuhan UMT bertemakan “25 Tahun UMT: Menerajui Agenda Ekonomi Biru Negara”.
Suriyani berkata, UMT perlu memberi tumpuan kepada penyelidikan, inovasi dan pemindahan ilmu dalam bidang sumber perikanan, akuakultur, biodiversiti marin, perubahan iklim serta pemuliharaan ekosistem.
Tambahnya, usaha itu penting bagi memastikan penggunaan sumber laut secara lestari, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan masyarakat dan pemeliharaan alam sekitar untuk generasi akan datang.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelantikan sebagai Naib Canselor baharu merupakan amanah besar untuk meneruskan legasi kecemerlangan universiti berkenaan dan membawanya ke tahap lebih tinggi.
Katanya, kemajuan universiti bukan bergantung kepada kepimpinan seseorang semata-mata, sebaliknya memerlukan kesatuan fikiran, komitmen serta usaha bersepadu seluruh warga universiti.
“Seluruh warga UMT perlu bersatu dan beriltizam untuk memacu universiti ini ke tahap lebih tinggi, sekali gus memimpin dan memperkasakan agenda Ekonomi Biru negara.
“Kita perlu bergerak sebagai satu pasukan, memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi, meningkatkan keupayaan akademik dan penyelidikan serta memastikan setiap usaha universiti memberikan impak yang nyata,” katanya.
Mengulas pencapaian dalam penarafan antarabangsa, beliau berkata, UMT turut berada dalam kelompok 160 universiti terbaik Asia menerusi QS World University Rankings 2027.
“Bagi penarafan Times Higher Education (THE) World University Rankings 2027, UMT berada dalam kelompok 801 hingga 1,000 universiti terbaik dunia, manakala THE Impact Rankings 2026 meletakkan universiti itu dalam kelompok 201 hingga 300 terbaik dunia.
“UMT turut berada dalam kelompok 201 hingga 250 terbaik dunia bagi bidang Agriculture and Forestry, selain menduduki tempat ke-535 dunia menerusi QS Sustainability Rankings,” katanya.
Sementara itu, seramai 2,829 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Istiadat Konvokesyen Ke-24 UMT.
Daripada jumlah itu, seramai 90 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah, 174 graduan menerima Ijazah Sarjana, 2,468 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda dan 97 graduan menerima diploma.
Daripada keseluruhan graduan Ijazah Sarjana Muda, seramai 397 orang merupakan graduan cemerlang kelas pertama.
Istiadat konvokesyen kali ini turut menyaksikan penyertaan 79 graduan antarabangsa dari 15 negara.
Dalam perkembangan berkaitan, UMT merekodkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 94.8 peratus pada 2025, manakala kadar bekerja graduan ialah 93.9 peratus.
Pencapaian itu mencerminkan usaha universiti menyediakan graduan dengan kemahiran dan keupayaan yang bersesuaian dengan keperluan pasaran pekerjaan.
Melalui Pusat Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan UMT (UMT GEM), universiti itu turut mendapatkan maklum balas graduan bagi memahami keperluan mereka serta merancang peluang pembangunan mahasiswa yang lebih relevan.
Pendekatan itu selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 untuk melahirkan graduan berdaya saing, berkemahiran dan berupaya mencipta peluang dalam ekonomi masa hadapan.-UTUSAN











