KUALA LUMPUR: Masyarakat khususnya golongan muda diingatkan agar tidak memandang ringan amalan merokok kerana ia terbukti menjadi ‘gerbang utama’ yang membawa kepada ketagihan bahan terlarang yang lebih berbahaya iaitu dadah.
Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebahagian masyarakat melihat tabiat merokok sebagai sesuatu amalan yang biasa, walaupun pada hakikatnya ia adalah titik permulaan sebelum seseorang individu melangkah lebih jauh mencuba bahan terlarang lain termasuk dadah sintetik.
Menurut beliau, individu yang sudah terjebak ke dalam kancah ketagihan dadah, khususnya bahan berasaskan farmasi yang sukar dipulihkan seperti syabu akan menghadapi kesukaran untuk kembali pulih seperti sediakala.
“Jangan sekali-kali berandapan bahawa kita hanya menghisap rokok dan tidak mengambil dadah maka itu tidak berbahaya.
“ Rokok adalah bahaya permulaan, di mana selepas itu individu akan mula melangkah kepada bahan lain yang akhirnya membawa kepada ketagihan kronik serta menjerumuskan diri ke dalam kancah jenayah,” katanya di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE, di sini.
Beliau hadir sebagai panelis di Konvensyen Mawlid Perdana 6.0 anjuran gabungan pertubuhan India Muslim termasuk Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (PERMIM) dan Ikatan Muslim India Malaysia (IMIM).
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, kebanyakan kes jenayah berat yang berlaku di negara ini rata-rata didalangi atau mempunyai kaitan langsung dengan penagih dadah.
Beliau menyeru ibu bapa dan masyarakat agar sentiasa `membaja’ kesedaran awal, mengetatkan pengawasan terhadap pergaulan anak-anak serta memantau pengaruh peranti mudah alih bagi membendung generasi muda daripada terus menjadi mangsa kepada sindiket edaran dadah tempatan dan antarabangsa.
“Kita kena pantau anak-anak kita semua, jika tidak memang tidak tahu apa akan jadi kepada mereka,” katanya. – UTUSAN











