KUDAT: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu mengutamakan kepentingan Sabah dan gabungan itu berbanding kepentingan parti atau individu bagi memastikan perpaduan politik negeri terus terpelihara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kekuatan Sabah untuk mempunyai kuasa tawar-menawar lebih kukuh di peringkat Persekutuan perlu bermula dengan perpaduan dalam GRS sendiri, bukannya dibayangi pertelingkahan, perebutan kedudukan dan ego politik.
“Tidak guna kita memuji kesatuan orang lain, kalau dalam rumah GRS sendiri kita masih bertelagah. Kekuatan Sabah sebenarnya bermula di sini, daripada kekuatan kita sendiri,” katanya dalam ucaptama pada Konvensyen GRS 2026 bertempat di Dewan Tun Mustapha, di sini, hari ini.
Hajiji yang juga merupakan Pengerusi GRS berkata, gabungan terbabit ditubuhkan pada 2020 berlandaskan aspirasi rakyat yang mahukan kekuatan politik tempatan untuk menentukan masa depan negeri sendiri, mempertahankan kepentingan rakyat dan memastikan pentadbiran Sabah kekal stabil.
Katanya, kejayaan GRS menjadi blok terbesar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, November tahun lalu, bukan hasil usaha satu parti atau pemimpin semata-mata, sebaliknya sumbangan bersama semua parti komponen, pimpinan dan ahli gabungan itu.
“Tidak ada parti yang begitu besar sehingga tidak lagi memerlukan rakannya. Dan tidak ada parti yang terlalu kecil sehingga sumbangannya boleh kita abaikan. Masing-masing mempunyai peranan,” katanya.
Beliau menegaskan, kepentingan GRS mesti mengatasi kepentingan mana-mana parti komponennya, manakala kepentingan Sabah pula perlu sentiasa mengatasi kepentingan GRS demi memastikan perjuangan gabungan itu kekal berpaksikan rakyat dan negeri.
Hajiji turut mengingatkan supaya pengorbanan ahli akar umbi yang menyumbang masa, tenaga dan wang sendiri sepanjang kempen tidak dilupakan selepas kemenangan dicapai.
Katanya, mereka yang tidak dikenali ramai dan jarang mendapat perhatian media sebenarnya menjadi asas kekuatan GRS, termasuk sanggup menggunakan kenderaan sendiri serta meninggalkan keluarga demi perjuangan gabungan itu.
“Orang-orang inilah yang sebenarnya menjadi asas kekuatan GRS. Kita yang berada di atas pentas ini boleh berdiri di sini kerana ramai orang di bawah dan di luar sana yang membantu dan mengangkat kita sampai pada kedudukan ini. Makanya, jangan sekali-kali kita lupa pada mereka,” katanya.
Beliau berkata tindakan sesetengah pihak meninggalkan gabungan untuk membawa haluan sendiri perlu dijadikan pengajaran supaya GRS terus memperkukuh perpaduan, lebih matang dalam membuat keputusan dan mengetepikan ego politik.
Menurutnya, kepelbagaian masyarakat Sabah serta perbezaan pilihan pengundi perlu difahami dan dihormati, manakala organisasi serta kerjasama antara parti komponen perlu terus diperkukuh bagi mengekalkan keyakinan rakyat. – UTUSAN











