Momen anak-anak cium tangan sebelum pergi sekolah sangat berharga- Syed Saddiq - Utusan Malaysia

Momen anak-anak cium tangan sebelum pergi sekolah sangat berharga- Syed Saddiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkongsi jadual hidupnya berubah serta merta selepas sah bergelar suami kepada selebriti, Bella Astillah pada 10 Oktober lalu.

Syed Saddiq, 33, berkata sebelum ini rutinnya selepas Subuh diisi  dengan aktiviti sukan, kini keutamaan tersebut beralih kepada menguruskan keperluan dua cahaya matanya iaitu Ayden Adrean dan Ara Adreanna sebelum mereka berangkat ke sekolah.

“Seratus peratus hidup berubah. Sebelum ini hanya ada saya sahaja di rumah, tetapi sekarang bukan setakat isteri di sisi setiap pagi, malah ada dua orang anak sekali. Bagi saya, ini adalah sesuatu yang sangat mahal harganya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dulu saya bangun awal untuk bersukan, tetapi sekarang rutin itu perlu diubah suai bagi menyiapkan anak-anak ke sekolah.

“Walaupun tempat kerja saya di Ampang dan jaraknya bukanlah dekat dengan kediaman, saya tetap gembira melakukannya,” katanya dalam satu temu ramah yang tular di media sosial, pada Ahad.

Mengulas mengenai adaptasi dalam peranan baharunya itu, Syed Saddiq memberitahu, dia tidak melihat tanggungjawab menguruskan keluarga sebagai satu bebanan yang sulit.

Sebaliknya, bekas Menteri Belia dan Sukan itu menganggap kehadiran Bella dan anak-anak sebagai ‘aset’ paling besar yang memberikan motivasi tambahan dalam perjuangan politik serta kehidupan sehariannya.

“Saya beradaptasi dengan baik. Momen apabila anak-anak bersalam tangan sebelum ke sekolah itu sangat berharga.

“Walaupun mungkin ada yang melihat perubahan ini sebagai sesuatu yang radikal kerana perlu menguruskan isteri dan anak-anak, pada saya, mereka adalah kekuatan untuk saya terus berjuang serta mengubah perspektif saya dalam banyak perkara,” jelasnya lagi.

Lebih menarik, Syed Saddiq turut mendedahkan bahawa kebahagiaan yang dikecapinya kini turut memberi kesan positif terhadap kejaya profesionalnya terutama ketika menjalankan berhujah di Parlimen.

“Dari situlah mungkin kadangkala ketika di Parlimen, saya berucap dengan lebih tenang walaupun orang luar tidak nampak.

“Saya kini mempunyai keluarga untuk saya pulang. Saya tidak akan menukar apa-apa dalam hidup saya demi mereka,” katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq Abdul Rahman sah bergelar suami kepada penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang berlangsung penuh indah di aras 118, Menara Merdeka Maybank pada 10 Oktober lalu.

Syed Saddiq dan Bella Astillah yang juga ibu tunggal dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna mula berkenalan dan semakin rapat pada 2025, sebelum mereka akhirnya mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini