Projek tebatan banjir di Bukit Gantang perlu dipercepat - Utusan Malaysia

Projek tebatan banjir di Bukit Gantang perlu dipercepat

SYED Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Dewan Terbuka Masjid Al -Wusta di Bukit Gantang hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: Kelulusan peruntukan projek tebatan banjir di sini perlu disusuli pelaksanaan segera supaya penduduk Bukit Gantang tidak terus berdepan bencana berulang ketika projek masih pada peringkat kajian.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, kejadian banjir yang kerap berlaku di kawasan itu menuntut perubahan kaedah kerja agensi berkaitan, khususnya dalam pengurusan sungai dan sistem saliran.

Menurutnya, kerajaan sudah menyediakan peruntukan untuk menangani masalah tersebut, namun beliau berpandangan pelaksanaannya perlu dipercepat dan diurus dengan lebih cekap bagi mengurangkan penderitaan penduduk.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekali-sekala berlaku banjir kita faham, tetapi jika sentiasa berlaku, apakah tidak ada usaha yang lebih cekap untuk mengalihkan air banjir ataupun menampung air yang turun dengan laju.” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat mangsa banjir di  Pusat Pemindahan Sementara (PPS)Dewan Terbuka Masjid Al -Wusta disini hari ini.

Beliau berkata, perkara itu akan dibangkitkan di Parlimen esok dengan memberi tumpuan kepada langkah mengurus aliran air hujan dan mengurangkan risiko limpahan sungai.

Katanya, kerja mendalamkan sungai dan membersihkan parit juga perlu dilaksanakan dengan kaedah yang betul, termasuk pengurusan bahan korekan supaya tidak dihanyutkan semula ke dalam saluran apabila hujan.

“Cara korek parit dan sungai tidak betul. Dikorek, kemudian diletakkan di tepi. Apabila air datang, pasir masuk balik,” katanya.

Sementara itu, seramai 407 mangsa banjir daripada 147 keluarga masih berlindung di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Larut, Matang dan Selama setakat pukul 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan jumlah itu tidak berubah berbanding pukul 4 pagi, dengan kesemua PPS terbabit masih beroperasi.

Menurutnya, Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Ibol menempatkan mangsa paling ramai, iaitu 181 orang daripada 57 keluarga dari Kampung Changkat Ibol.

“Dewan Masjid Al-Wusta Batu 8 pula menempatkan 130 mangsa daripada 57 keluarga dari Kampung Batu 9.

“Seramai 79 mangsa daripada 24 keluarga dari kawasan Matang berlindung di SK Matang Gelugor, manakala 17 orang daripada sembilan keluarga dari kawasan Trong ditempatkan di Dewan Perdana Trong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya PPS SK Changkat Ibol dibuka pada pukul 6 petang semalam, disusuli Dewan Masjid Al-Wusta Batu 8 pada pukul 6.30 petang.

Katanya, Dewan Perdana Trong dan SK Matang Gelugor pula mula beroperasi pada pukul 8.30 malam hari sama. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini