Deepavali Fest 2026 semarakkan perpaduan, keunikan budaya - Utusan Malaysia

Deepavali Fest 2026 semarakkan perpaduan, keunikan budaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sambutan Deepavali perlu dimanfaatkan sebagai wadah memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum, selain memperkenalkan keunikan budaya India kepada rakyat Malaysia.

Ketua Pemasaran ASC Agenda Suria Communication Sdn. Bhd., Vithya Shaline berkata, penganjuran Deepavali Fest 2026 bertujuan menghidupkan kemeriahan perayaan itu menerusi pelbagai aktiviti kebudayaan, hiburan dan pengalaman membeli-belah yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat.

Katanya, pendekatan itu bukan sahaja memberi ruang kepada masyarakat menikmati suasana perayaan, malah membuka peluang untuk mengenali tradisi dan warisan masyarakat India dengan lebih dekat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Deepavali melambangkan cahaya, harapan dan kebersamaan. Kami mahu Deepavali Fest 2026 menghidupkan semangat itu dengan menyediakan ruang yang mengalu-alukan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang untuk mengenali dan menghargai budaya India.

“Melalui aktiviti membeli-belah, persembahan tradisional, aktiviti interaktif serta kepelbagaian hidangan di Spice & Sizzle Indian Food Bazaar, kami berharap festival ini dapat memberikan pengalaman bermakna kepada pengunjung,” katanya.

Festival yang berlangsung 16 hingga 18 Oktober 2026  di Strand Mall itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr. Gunarajah R George.

Ia menghimpunkan 110 peniaga dengan jumlah kehadiran pengunjung disasarkan mencecah 40,000 orang sepanjang tiga hari penganjurannya.

Mengulas lanjut, Vithya berkata, penganjuran festival itu bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat menikmati kemeriahan sambutan Deepavali, malah membuka ruang kepada usahawan tempatan untuk memperkenalkan produk masing-masing kepada khalayak lebih luas.

Katanya, platform seumpama itu dapat membantu peniaga menjangkau pelanggan baharu dan memanfaatkan peluang perniagaan sepanjang musim perayaan.

“Matlamat kami juga adalah untuk menyediakan platform kepada usahawan tempatan mempamerkan produk mereka, menjangkau pelanggan baharu dan meraih manfaat daripada musim perayaan.

“Paling penting, kami mahu keluarga dan sahabat menikmati masa berkualiti bersama-sama, di samping memastikan tradisi terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Encorp Berhad, Ahmad Harzimi Mohd Taib berkata, pusat beli-belah masa kini bukan lagi sekadar destinasi membeli-belah, sebaliknya berperanan sebagai ruang bersama untuk masyarakat berkumpul dan menjalankan pelbagai aktiviti.

Sepanjang 2026, Strand Mall turut menganjurkan pelbagai program termasuk inisiatif kerjaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Selangor Youth Netball Challenge 2026, Apex Strand Mall Chess Tour IX 2026 serta tayangan langsung acara sukan kepada orang ramai, termasuk Piala Dunia FIFA.

Kepelbagaian program itu mengukuhkan peranan Strand Mall sebagai hab komuniti yang menyediakan ruang untuk aktiviti gaya hidup, perhimpunan dan acara kemasyarakatan, termasuk di kawasan luar bangunan pusat beli-belah berkenaan.-UTUSAN

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini