IJM dijangka tambah buku pesanan menjelang IPO perniagaan pembinaan

IJM dijangka tambah buku pesanan menjelang IPO perniagaan pembinaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: IJM Corporation Berhad (IJM Corp) dijangka lebih agresif menambah buku pesanannya dalam tempoh sembilan hingga 12 bulan akan datang menjelang potensi penyenaraian perniagaan pembinaannya pada suku ketiga 2027.

Penganalisis CGS International, Chong Tjen-San berkata, sasaran hasil perniagaan pembinaan IJM antara RM4.5 bilion hingga RM5 bilion bagi tahun kewangan berakhir Mac 2027 (FY3/27F) mengatasi unjuran firma itu sebanyak RM4.1 bilion.

“Kontrak terbaharu bernilai RM1.23 bilion daripada AT&S Austria Technologie & Systemtechnik (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi pembinaan kemudahan pembuatan semikonduktor di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah, meningkatkan nilai kontrak baharu IJM bagi FY3/27F kepada kira-kira RM3 bilion.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Buku pesanan pembinaan IJM di Malaysia dan Singapura turut meningkat kepada RM10.6 bilion setakat Oktober 2026,” katanya dalam satu nota penyelidikan. 

Beliau berkata, kontrak berkenaan melibatkan pembinaan bangunan pengeluaran empat tingkat, bangunan utiliti pusat tiga tingkat dan kemudahan rawatan air sisa, dengan kerja dijadualkan bermula pada suku keempat 2026 dan disiapkan dalam tempoh 14 bulan.

Menurutnya, keupayaan IJM dalam komponen pratuang Sistem Binaan Berindustri (IBS) dijangka membantu syarikat memenuhi jadual pembinaan yang ketat.

“Kami menjangkakan margin keuntungan sebelum cukai projek ini berada pada paras lebih tinggi dalam julat enam hingga sembilan peratus, sejajar dengan kaedah reka bentuk dan bina yang digunakan.

“Pendedahan IJM kepada sektor semikonduktor dan perubatan juga menjadi faktor pembeza berbanding pesaing seperti Gamuda dan Sunway Construction Group menjelang potensi penyenaraian perniagaan pembinaannya,” ujarnya. 

IJM mengekalkan sasaran memperoleh kontrak baharu antara RM6 bilion hingga RM8 bilion bagi FY3/27F daripada nilai tender RM17 bilion hingga RM18 bilion.

“Kami mengekalkan saranan “Add” terhadap IJM dengan harga sasaran RM3.42, berdasarkan penilaian jumlah bahagian (SOP).

“Kami menyukai IJM kerana mempunyai perniagaan pembinaan yang mantap serta perniagaan cerucuk spun (pretensioned spun concrete piles) yang saling melengkapi, selain prospek positif daripada usaha merealisasikan nilai asetnya. 

“Pemangkin kepada penilaian semula saham termasuk realisasi nilai aset yang lebih pantas dan jualan hartanah yang lebih tinggi. 

“Risiko penurunan pula merangkumi kelewatan pemberian projek dan peningkatan kos bahan mentah,” katanya. -UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini