MELAKA: Kemelut adat yang melanda di Negeri Sembilan tidak akan menjejaskan persiapan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tumpuan parti ketika ini adalah memastikan strategi pilihan raya yang dirangka dapat dilaksanakan dengan berkesan selain memperkemas gerak kerja jentera.
Menurutnya, kejayaan sesebuah parti dalam pilihan raya bukan sekadar bergantung kepada strategi yang dirancang sebaliknya turut ditentukan keupayaan jentera melaksanakan perancangan itu terutama dalam memastikan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka.
“Saya jawab di Negeri Sembilan. Ia tidak menjejaskan PRN Melaka. Saya tidak yakin perkara itu ada kena-mengena. Orang Melaka ini waras semua.
“PRN Melaka, insya-Allah, kalau buat elok-elok, boleh menang. Semuanya bergantung kepada bagaimana kita menyusun strategi.
“Jentera sudah menyusun strategi dan mereka mesti melaksanakannya. Ini penting kerana strategi yang baik tetapi tidak dilaksanakan juga akan menggagalkan rancangan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas merasmikan penutupan Persidangan Agung Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional Malaysia (PerSoNa) Kali Ke-10 Sesi 2025 di Ayer Keroh di sini hari ini.
Mohamad berkata, persiapan jentera BN di Melaka ketika ini menunjukkan perkembangan positif dengan semangat anggota parti yang tinggi menjelang hari pengundian.
“Strategi kita baik untuk menghadapi pilihan raya ini. Sekarang kita mahu melihat persiapan jentera. Nampaknya persiapan jentera di Melaka memang berkobar-kobar dan tidak sabar-sabar untuk mengundi, begitu juga pengundi yang menunggu 14 November ini,” katanya. – UTUSAN











