Wawasan ada hak ke atas DUN Sungai Udang, Bemban

Wawasan ada hak ke atas DUN Sungai Udang, Bemban

HAMZAH Zainudin semasa sidang akhbar Himpunan Pemuda Wawasan Negara di Bandar Baru Jasin Bestari, Jasin, Melaka, semalam.-UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Parti Wawasan Negara (Wawasan) menegaskan hasrat untuk bertanding dan mempertahankan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungai Udang dan Bemban pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.

Presiden Wawasan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, parti itu mempunyai hak untuk mempertahankan kedua-dua kerusi berkenaan sebagaimana UMNO mahu mengekalkan 21 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lalu.

Menurutnya, sebarang tuntutan terhadap kerusi yang disandang wakil rakyat Wawasan perlu dibincangkan secara bersama bagi mencari penyelesaian yang boleh diterima semua pihak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau konsepnya UMNO kata mereka hendak mempertahankan kerusi yang mereka menang, kenapa pula mereka tak nak beri saya mempertahankan kerusi untuk kami menang?

“Kalau mereka hendak kerusi kami, kami boleh bagi tetapi duduklah sama-sama. Kita bincang kerusi yang sesuai dan kerusi yang boleh menentukan kemenangan sama ada di pihak Perikatan Nasional (PN) ataupun Barisan Nasional,” katanya semasa sidang akhbar Himpunan Pemuda Wawasan Negara di Bandar Baru Jasin Bestari di sini semalam.

DUN Sungai Udang kini disandang Dr. Mohd. Aleef Yusof dan DUN Bemban yang disandang Dr. Mohd. Yadzil Yaakub.

Kedua-dua mereka memenangi kerusi berkenaan pada PRN Melaka 2021 atas tiket PN ketika mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum meninggalkan parti itu dan menyertai Wawasan.

Mengulas lanjut Hamzah berkata, Wawasan tidak menolak kemungkinan untuk berbincang dengan parti lain sekiranya terdapat keperluan menyusun semula pembahagian kerusi namun rundingan itu perlu mengambil kira kepentingan semua pihak.

Katanya, Wawasan mahu memastikan kerusi yang dimenangi sebelum ini dapat dipertahankan dan tidak seharusnya diketepikan hanya kerana terdapat parti lain yang turut berminat untuk bertanding di kawasan berkenaan.

Menurutnya, prinsip mempertahankan kerusi sedia ada perlu dilaksanakan secara adil selain mengambil kira kesesuaian kerusi dan kemampuan parti yang bertanding untuk membentuk kerjasama.

“Kalau mereka hendak kerusi mana-mana sekalipun boleh tetapi saya hendak maklumkan kami hendak pertahankan kerusi kami. Kalau mereka hendak, kenalah duduk dengan kami untuk kita bincangkan kerusi yang sesuai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini