Penggantungan PN bukti Bersatu ‘kuda trojan’ PH - Utusan Malaysia

Penggantungan PN bukti Bersatu ‘kuda trojan’ PH

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aduan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sehingga Perikatan Nasional (PN) digantung daripada sebarang aktiviti membuktikan bahawa parti itu adalah ‘kuda trojan’ Pakatan Harapan (PH).

Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan, sebaliknya ia men­jadi punca keretakan dalaman Bersatu sejak lebih setahun lalu.

Beliau berkata, keretakan da­laman Bersatu sehingga mewujudkan kem-kem berbeza adalah disebabkan percanggahan pandangan melibatkan pimpinan utama apabila ada segelintir pemimpin mahu bekerjasama dengan PH.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tindakan RoS terhadap PN itu bukan suatu yang mengejutkan kerana itulah peranan Bersatu untuk kekal dalam PN. Mereka hanya mahu mengucar-ngacirkan PN supaya hilang momentum menuju ke pilihan raya,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Pada 22 September lalu, RoS mengeluarkan notis kepada PN, sebelum perintah penggantungan semua aktiviti berkuat kuasa dua hari selepasnya.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, buat masa sekarang tiada tindakan dapat diambil terhadap Bersatu memandangkan segala aktiviti PN digantung buat sementara waktu.

Bagaimanapun, katanya, sebaik saja aktiviti PN dapat dijalankan semula, beliau sendiri akan mengusulkan untuk Bersatu ‘ditendang’ keluar daripada gabungan.

“Secara peribadi, apabila me­syuarat Majlis Tertinggi PN dipanggil kelak, saya sendiri akan mengusulkan supaya Bersatu dikeluarkan tetapi buat masa ini ada beberapa isu teknikal perlu diselesaikan termasuk dengan RoS dan mahkamah,” katanya.

Wan Saiful juga menjangkakan, Bersatu akan terus melakukan gangguan terhadap PN bagi melemahkan gabungan dari dalam, selepas dilihat berkeras untuk kekal bersama PN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini