Banjir Nepal: Keluarga masih berharap mangsa akan pulang

Banjir Nepal: Keluarga masih berharap mangsa akan pulang

LIM Hui Ying (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada P. Rubbani (dua dari kiri) yang kehilangan suami dalam tragedi banjir di Nepal, Ogos lalu ketika ditemui di pejabat Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang di George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang remaja, M. Shaveel, 18, masih menyimpan harapan agar kedua ibu bapanya iaitu K. Mangalavanan, 50, dan P. Malani, 49, yang hilang dalam tragedi banjir di Nepal, Ogos lalu dapat ditemukan semula serta kembali ke pangkuan keluarga di tanah air.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, bapanya, Mangalavanan sebelum ini pernah mengimpikan untuk melihat dia melanjutkan pengajian ke luar negara termasuk menjadi peguam yang berjaya suatu hari nanti.

Bagaimanapun, Shaveel berkata, dia terpaksa menangguhkan impian itu buat seketika selepas kehilangan mereka dan kehilangan itu juga memberi kesan terhadap masa depannya apabila dia bakal menyambung pengajiannya dalam bidang perniagaan di Politeknik Seberang Perai (PSP) pada 22 November ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya masih berharap agar mereka dapat kembali. Saya tidak pernah bermimpi tentang mereka, tetapi, saya berharap agar mereka dapat pulang segera,” katanya.

M. Shaveel menunjukkan gambar kedua ibu bapanya iaitu K. Mangalavanan dan P. Malani yang hilang dalam tragedi banjir di Nepal, Ogos lalu ketika ditemui di pejabat Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang di George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD

Remaja itu ditemui selepas menghadiri majlis penyerahan bantuan kepada waris mangsa banjir Nepal anjuran Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang, hari ini. Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying.

Bagi P. Rubbani, 39, pula, kehilangan suaminya, M.Poobalan, 40, dalam tragedi yang sama juga masih dirasai sehingga kini, namun, dia akan terus kuat demi membesarkan dua anak mereka yang kini berusia sembilan dan enam tahun.

“Saya sangat berharap dia akan kembali demi anak-anak dan saya perlu kuat untuk mereka (anak-anak) buat masa ini,” katanya yang memberitahu, Poobalan merupakan tonggak utama dalam keluarga mereka sebelum ini.

Sementara itu, Hui Ying berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus membantu keluarga mangsa banjir di Nepal yang masih kehilangan ahli keluarga mereka dengan menyediakan sokongan berbentuk psikososial dan kaunseling.

“Kami amat prihatin dengan keadaan emosi mereka serta bersedia untuk membantu pada bila-bila masa sekiranya pihak keluarga memerlukan bantuan. Kami juga bersedia menghubungi kementerian atau agensi lain jika bantuan yang mereka (keluarga) perlukan di luar bidang kuasa kami,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang, R.S.N. Rayer menjelaskan, pihaknya bersetuju untuk menyalurkan bantuan ‘one-off’ sebanyak RM5,000 kepada setiap keluarga mangsa yang masih hilang dalam tragedi di Nepal itu.

Pada masa yang sama, beliau mahu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempertimbangkan langkah untuk memudahkan urusan dokumentasi termasuk mengeluarkan sijil kematian bagi membolehkan keluarga mangsa menguruskan tuntutan insurans serta melakukan urusan pemindahan hak milik harta.

Tambah Rayer, beliau akan membangkitkan perkara itu dalam persidangan Dewan Rakyat selepas ini bagi memastikan agar kebajikan keluarga mangsa terus mendapat perhatian kerajaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini