Akibat membiarkan nafsu serakah menguasai diri

Akibat membiarkan nafsu serakah menguasai diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJARAH politik Malaysia sepatutnya dijadikan iktibar dan pengajaran oleh semua bahawa kuasa bukan lesen untuk berbuat sesuka hati. Manakala kedudukan bukan jaminan seseorang akan terlepas daripada pengadilan. 

Namun, mengapa masih ada pemimpin yang seolah-olah tidak pernah belajar daripada kesilapan orang terdahulu? Apakah kuasa begitu memabukkan sehingga akal budi dan pertimbangan moral akhirnya diketepikan?

Berapa banyak kes yang sudah kita saksikan? Berapa ramai yang berbaju oran lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia? Berapa pula yang naik turun mahkamah malah ada yang ke penjara.

Skandal 1MDB misalnya menjadi antara episod duka negara yang cukup panjang dengan kisahnya tersebar ke seluruh dunia. Ia bukan sekadar soal wang berbilion ringgit, tetapi menyentuh soal amanah, integriti dan maruah Malaysia di mata dunia. 

Kes tersebut sepatutnya menjadi amaran keras kepada setiap pemimpin bahawa penyalahgunaan kuasa mempunyai harga yang mahal, bukan sahaja kepada individu, malah kepada rakyat dan negara.

Namun, isu rasuah terus menghantui pentadbiran dan politik negara. Setiap kali muncul dakwaan baharu, rakyat kembali tertanya-tanya: bilakah budaya mengambil kesempatan terhadap kuasa ini akan berakhir? Mengapa masih ada yang sanggup mempertaruhkan reputasi, kerjaya dan masa depan hanya kerana mengejar kekayaan atau kepentingan peribadi?

Lebih menyedihkan, sesetengah pemimpin seolah-olah menganggap kedudukan mereka sebagai perisai. Mereka lupa bahawa kepercayaan rakyat bukan cek kosong yang boleh digunakan sesuka hati. Apabila amanah dikhianati, rakyat bukan sahaja hilang keyakinan terhadap individu terbabit, malah mula mempersoalkan keseluruhan sistem kepimpinan.

Terbaharu isu khalwat membabitkan seorang pemimpin politik Nik Nazmi. Pemimpin yang terlihat bersih dan berintegriti. Sanggup meninggalkan rakan dan sekutu kerana prinsip. Tetapi akhirnya terjerumus ke dalam skandal yang menghancurkan kerjaya dan mengikis kepercayaan awam.

Memang sebarang dakwaan perlu ditangani berdasarkan fakta, proses undang-undang dan hak individu untuk memberikan penjelasan. Seseorang tidak wajar dihukum melalui persepsi semata-mata. Pada masa yang sama, pemimpin perlu sedar bahawa kehidupan peribadi mereka juga boleh menjejaskan keyakinan rakyat apabila timbul persoalan tentang tingkah laku dan tanggungjawab moral.

Persoalannya, mengapa mereka tidak mengambil iktibar daripada kejatuhan pemimpin terdahulu? Jawapannya mungkin terletak pada sifat manusia yang mudah lupa apabila terlalu lama berada di puncak kuasa. Ada yang menyangka mereka kebal, ada yang dikelilingi pengampu, dan ada pula yang percaya kesalahan boleh disembunyikan selagi pengaruh masih kuat.

Hakikatnya, musuh terbesar seorang pemimpin bukan semestinya lawan politik, tetapi nafsu serakah dalam dirinya sendiri. Apabila nafsu mengatasi amanah, kuasa menjadi alat kepentingan peribadi dan rakyat pula menanggung akibatnya.

Pemimpin perlu memahami bahawa jawatan hanyalah pinjaman, sedangkan rekod tindakan akan terus dinilai. Jangan tunggu sehingga nama tercalar, keluarga menanggung malu dan negara kehilangan kepercayaan untuk mula belajar daripada kesilapan.

Sejarah sudah memberikan amaran berkali-kali. Jika masih enggan mengambil iktibar, masalahnya bukan kerana mereka tidak tahu akibatnya, tetapi kerana mereka memilih untuk percaya bahawa akibat itu tidak akan menimpa diri sendiri.

Aznan Bakar adalah Pemangku Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.