Seorang pesakit mengadu sudah beberapa tahun mengalami hidung tersumbat yang dirasai lebih ketara di sebelah kanan. Rasa hidung tersumbat itu juga lebih ketara apabila dia baring ketika hendak tidur sehingga terasa lemas kerana tidak dapat bernafas.
“Apabila saya baring untuk tidur, rasa susah hendak bernafas. Kalau boleh masa tidur, saya hendak tutup mulut tapi bila tutup mulut lagi susah hendak bernafas. Jadi, saya terpaksa buka mulut.
“Apabila saya tutup hidung sebelah, udara tidak masuk dan rasa tidak puas bernafas. Mula-mula dulu, saya rasa ia tidak mengganggu tetapi semakin lama semakin rasa tidak selesa. Bila bangun pagi tekak terasa kering, perit dan sering bersin,” katanya.
Hasil pemeriksaan oleh Pakar Bedah dan Pensyarah Klinikal, Jabatan Otorinolaringologi, Surgeri Kepala dan Leher, Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM,HUKM), dari Fakulti Perubatan UKM, Prof. Madya Dr. Farah Dayana Zahed mendapati pesakit berkenaan mengalami masalah batang hidung bengkok serta keradangan dalam rongga hidung.

Hasil pemeriksaan menggunakan kamera atau skop yang dimasukkan ke dalam hidung pesakit juga mendapati ada turbinate yang bengkak pada kedua-dua rongga hidung dan kebengkokan pada septum hidung. Tompok merah di dalam hidung yang menunjukkan terdapat radang di dalam hidungnya.
Dr. Farah Dayana berkata, global data menunjukkan jangkaan 26 sehingga 90 peratus daripada populasi mempunyai struktur batang hidung dalam yang bengkok (deviated nasal septum) dan kes struktur batang hidung bengkok kerap ditemui di kliniknya membabitkan pelbagai kaum dan jantina.
“Hidung mempunyai dua laluan udara iaitu bahagian kanan dan kiri, yang dipisahkan oleh dinding nipis yang terdiri daripada rawan dan tulang di tengah hidung atau batang hidung yang dikenali sebagai nasal septum.
“Ramai tidak tahu, udara masuk secara separa bergilir melalui lubang hidung kiri dan kanan. Ini bermakna setiap kali kita bernafas, udara tidak masuk serentak secara sama melalui kedua lubang hidung.Ini dinamakan kitaran nasal (nasal cycle),”katanya.
Oleh itu katanya, pesakit mengalami selesema atau radang hidung, terutama bagi yang mempunyai batang hidung dalam yang bengkok, satu laluan udara akan menjadi lebih sempit berbanding lagi sebelah.
Masalah ini juga boleh berlaku akibat trauma daripada kemalangan, jatuh, kesan tumbukan akibat terhantuk atau kecederaan pada hidung ketika bersukan yang boleh menyebabkan batang hidung patah dan bengkok.
Dr. Farah Dayana berkata, terdapat beberapa kategori batang hidung bengkok iaitu bengkok atau sempit di hadapan hidung (anterior). Hal ini boleh membabitkan kawasan bukaan lubang hidung (Nasal valve area).
“Ini adalah kawasan berhampiran pintu masuk hidung yang mengawal aliran udara. Jika kawasan ini terlalu sempit atau defisiensi ketika menarik nafas, seseorang boleh mengalami kesukaran bernafas melalui hidung. Rawatan mungkin membabitkan pembedahan pada bahagian tersebut seperti septorhinoplasty, bergantung pada puncanya.
“Kategori kedua adalah dinding pemisah di dalam hidung bengkok iaitu dinding yang memisahkan lubang hidung kiri dan kanan dibahagian dalam. Apabila dinding ini bengkok, salah satu laluan udara boleh menjadi lebih sempit. Pembedahan untuk membetulkan septum adalah septoplasty,” katanya.
Selain itu, hidung tersumbat boleh disebabkan oleh pembengkakan pada tisu di sisi dalam hidung yang dinamakan turbinat inferior. Tisu ini biasanya akan bengkak disebabkan keradangan pada hidung seperti sekiranya pesakit mengalami alahan hidung.
Jika struktur ini membesar atau ruang hidung menjadi sempit, ia boleh menyumbang kepada hidung tersumbat. Struktur yang bengkak ini boleh memburukkan lagi keadaan hidung tersumbat terutama di sebelah yang terdapat batang hidung dalam yang bengkok.
Kategori ketiga adalah bengkok atau masalah pada struktur di sisi dalam hidung. Ini merujuk kepada tulang atau struktur di sisi rongga hidung seperti turbinat (tisu yang membantu memanaskan dan melembabkan udara). Jika struktur ini membesar atau ruang hidung menjadi sempit, ia boleh menyumbang kepada hidung tersumbat.
Sesetengah masalah struktur hidung boleh dikaitkan dengan sakit atau tekanan pada muka dan juga sakit kepala. Akan tetapi, tidak semua sakit kepala boleh dikaitkan dengan batang hidung dalam yang bengkok. Oleh itu, pemeriksaan oleh pakar Otorinolaringologi penting.
RAWATAN
Rawatan untuk membetulkan batang hidung bengkok bergantung kepada punca kebengkokan, sama ada membabitkan struktur luaran atau bahagian dalaman hidung serta tahap keseriusan simptom yang dihadapi.
Sekiranya simptom hidung sumbat adalah disebabkan keradangan hidung, dalam masa sama terdapat batang hidung dalam yang bengkok, ubat-ubatan boleh diberi berdasarkan diagnosis.
Septoplasti (Septoplasty): Pembedahan ini memfokuskan kepada pembetulan septum iaitu dinding tulang dan rawan di dalam hidung yang membahagikan kedua-dua lubang hidung. Rawatan ini bertujuan mengembalikan fungsi pernafasan yang tersumbat akibat septum bengkok (deviated septum), selalunya tanpa mengubah rupa luaran hidung.
Septorhinoplasti (Septorhinoplasty): Prosedur ini meluruskan struktur dalaman (septum) dan dalam masa sama membantu merawat bahagian bengkok yang di hadapan (nasal valve) bagi melancarkan pernafasan. Prosedur ini juga sekali gus boleh membentuk semula rangka luar hidung supaya kelihatan lurus dan simetri.
“Sebelum rawatan, pertama sekali perlu periksa simptom dan tahap keterukan dialami sehingga mengganggu kehidupan seharian seperti sakit kepala akibat sukar hendak tidur dan gangguan pada aktiviti harian. Doktor juga akan bertanya sama ada pesakit pernah mengalami kemalangan atau kecederaan di hidung.
“Bagaimanapun tidak semua batang hidung bengkok menunjukkan simptom. Ada pesakit menjalani hidup seperti biasa kerana pesakit tidak mengalami gejala. Jadi, isunya adalah apabila pesakit mengalami gejala hidung tersumbat, sakit kepala atau muka yang boleh mengangg kualiti hidup mereka,” katanya.
Bagi pesakit yang mengalami radang, ia akan memburukkan lagi gejala dialami akibat struktur batang hidung bengkok. Apabila masalah radang dirawat, gejala seperti hidung tersumbat akan berkurangan.
Sebaliknya jika tidak berkurangan, pembedahan batang hidung bengkok juga akan dijalankan.
Katanya lagi, implikasi hidung tersumbat boleh menyebabkan pesakit tidak cukup tidur akibat tidak boleh bernafas ketika tidur selain masalah berdengkur.-UTUSAN










