Gandingan Nastia, Liyana Fizi ubat rindu ‘anak indie’
KUALA LUMPUR – Persembahan penuh nostalgia gandingan kumpulan Nastia dan penyanyi Liyana Fizi berjaya mencuri tumpuan dalam Konsert Nastia Project: Soul Journey yang berlangsung dengan penuh emosi, malam tadi.
Liyana, yang sebelum ini memilih untuk ‘berehat’ seketika daripada radar seni, mengubat kerinduan peminat apabila tampil di pentas membawakan lagu kolaborasi ikonik, Esok Belum Tiba yang pernah diterbitkan pada 2014.
Suasana di lokasi bertukar gamat apabila Nastia memberi laluan kepada bekas vokalis kumpulan Estrella itu untuk menyampaikan lagu hit Stay, sebuah naskhah yang pernah mencetuskan fenomena dalam industri muzik bebas (indie) tanah air suatu ketika dahulu.
“Dipersilakan Liyana menyanyikan lagu yang pernah menjadi kegilaan anak indie suatu masa dahulu,” ujar vokalis Nastia, Leo Azman ketika menjemput rakan kolaborasinya itu ke atas pentas.
Tidak hanya tertumpu kepada kemunculan Liyana, konsert tersebut turut diserikan dengan kehadiran penyanyi dan penyair, Fynn Jamal yang memberikan sentuhan magis menerusi deklamasi puisi daripada bait lirik Pastel.
Fynn kemudiannya menyampaikan lagu Terbang Tunduk yang didedikasikan khas sebagai tanda solidariti buat pejuang dan rakyat Palestin yang sedang menderita.
Sepanjang dua jam persembahan, Nastia yang kini dianggotai oleh Leo Azman dan Rudy telah menyampaikan kira-kira 19 buah lagu di hadapan hampir 2,000 penonton yang membanjiri ruang konsert.
Antara momen paling mencuri perhatian adalah sewaktu lagu Rapuh didendangkan, yang menyaksikan hampir keseluruhan penonton menyanyi bersama (sing-along) sekali gus membuktikan kekuatan pengaruh muzik kumpulan tersebut.
Konsert Nastia Project: Soul Journey ini dijayakan oleh Smart AV Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Coolman Khoo, dengan kerjasama Nikko Concept Sdn. Bhd. menerusi Afric Khaw. – UTUSAN











