MELAKA: Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, tidak menutup pintu kepada kemungkinan untuk kembali ke gelanggang politik, termasuk mempertimbangkan tawaran atau cadangan berkaitan hala tuju politiknya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Begitupun beliau berkata, keterbukaannya untuk mengadakan perbincangan itu tidak seharusnya dianggap sebagai pengesahan beliau sudah membuat keputusan untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang.
“Pintu perbincangan saya sentiasa terbuka tetapi pihak lain tidak boleh menentukan pendirian saya.
“Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mempunyai cadangan, tawaran dan hasrat untuk berbincang berkaitan kerjaya politik saya, perkara itu boleh dibawa ke meja perbincangan dan dibincangkan secara harmoni,” katanya di pejabatnya di Klebang, di sini semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan spekulasi yang mengaitkan namanya dengan kemungkinan bertanding di DUN Sungai Udang dalam Parlimen Tangga Batu itu menjelang PRN Melaka pada 14 November ini.
Idris yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang berkata, spekulasi itu menyebabkan beliau dihujani banyak pertanyaan menerusi mesej WhatsApp dan panggilan telefon daripada pelbagai pihak yang ingin mendapatkan kepastian.
Beliau berkata, ada dalam kalangan mereka yang bukan sahaja bertanyakan mengenai perkara itu, malah menyatakan sokongan dan menawarkan tempat untuk dijadikan pusat gerakan sekiranya beliau bertanding.
Bagaimanapun, katanya, sokongan dan kesediaan pihak tertentu itu tidak bermakna beliau sudah membuat keputusan untuk kembali bertanding dalam PRN Melaka.
“Saya tidak pernah menyebut bahawa saya mahu menjadi calon di Sungai Udang. Saya merasakan perkara ini perlu diperjelaskan supaya tidak terus menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat, terutama mereka yang mengikuti perjalanan politik saya,” katanya.
Idris berkata, sebarang keputusan berkaitan masa depan politiknya perlu dibuat berdasarkan pertimbangan sendiri dan bukannya ditentukan oleh andaian atau persepsi pihak lain.
“Jangan anggap keterbukaan itu sebagai suatu pengesahan dan jangan jadikan persepsi pula sebagai satu keputusan. Ruang perbincangan akan terus terbuka tetapi pendirian sebenar mestilah dirujuk kepada yang empunya diri,” katanya.
Dalam pada itu, Idris berkata, beliau lebih mengutamakan kestabilan politik dan keharmonian masyarakat di Melaka, selain berharap rakyat dapat menikmati suasana aman tanpa dibelenggu spekulasi yang boleh menimbulkan keresahan.
Idris menjadi Ketua Menteri Melaka ke-10 selama satu penggal selepas memenangi kerusi DUN Sungai Udang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 dan 2018 atas tiket Barisan Nasional (BN).
Pada PRN Melaka 2021, beliau bertanding di DUN Asahan dalam Parlimen Alor Gajah atas tiket PKR yang mewakili Pakatan Harapan (PH), namun tewas kepada calon BN, Datuk Fairul Nizam Roslan.











