PETALING JAYA: Keutamaan Pas terhadap UMNO dalam rundingan kerjasama politik berisiko mencetuskan ketegangan dengan parti politik lain sekiranya kepentingan serta peluang mereka untuk bertanding semakin terhad.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, pendirian itu berpotensi mengubah keseimbangan hubungan politik dalam kalangan parti yang bekerjasama dengan Pas apabila UMNO diberikan kedudukan lebih strategik.
Katanya, keadaan tersebut boleh menimbulkan rasa tidak puas hati sekiranya parti seperti Parti Wawasan Negara (Wawasan) dan komponen Perikatan Nasional (PN) lain merasakan kepentingan mereka semakin terbatas.
“Sekiranya rundingan tidak diurus secara berhati-hati, kerjasama Pas-UMNO-BN mungkin dapat diperkukuh tetapi pada masa sama berisiko mencetuskan ketegangan dalam hubungan Pas dengan sekutu lain.
“Keutamaan kepada UMNO tidak seharusnya diterjemahkan sebagai tindakan meminggirkan rakan politik sedia ada,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Akhbar ini semalam melaporkan, Pas mengutamakan UMNO dan BN dalam sebarang rundingan kerjasama politik berbanding parti lain termasuk Wawasan.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, ketetapan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Syura Ulama yang dipengerusikannya baru-baru ini, yang membenarkan Pas Pusat berunding dengan mana-mana parti politik dengan memberi keutamaan kepada UMNO.
Mohammad Tawfik berkata, dalam konteks Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai kedudukan tawar-menawar lebih kukuh kerana mahu mempertahankan 21 kerusi yang dimenangi sebelum ini.
“Sehubungan itu, Pas perlu memainkan peranan sebagai pengimbang antara tuntutan UMNO dengan kepentingan rakan politiknya.
“Ketetapan Majlis Syura Ulama Pas untuk mengutamakan UMNO merupakan isyarat politik signifikan yang memperlihatkan kesungguhan kepimpinan tertinggi parti itu menghidupkan semula semangat Muafakat Nasional (MN),” katanya.
Menurut Mohammad Tawfik, rundingan pembahagian kerusi yang dilaporkan mencapai sekitar 90 peratus menunjukkan kerjasama tersebut bukan lagi sekadar retorik politik, sebaliknya semakin hampir diterjemahkan dalam bentuk persefahaman pilihan raya.
Bagaimanapun katanya, cabaran terbesar ialah sejauh mana kedua-dua parti sanggup mengetepikan kepentingan masing-masing khususnya dalam pembahagian kerusi, pemilihan calon dan perkongsian pengaruh politik.
“UMNO tentunya mahu mempertahankan kedudukannya sebagai parti dominan, manakala Pas pula tidak mahu dilihat sekadar menjadi pelengkap kepada kekuatan UMNO.
“Justeru, kejayaan kerjasama ini bergantung kepada kesediaan kedua-dua kepimpinan melakukan kompromi secara ikhlas dan membina persefahaman jangka panjang, bukan semata-mata untuk meraih kemenangan dalam pilihan raya,” katanya.
Mengulas mengenai penerimaan akar umbi, beliau berkata, terdapat asas sokongan terhadap penyatuan Pas dan UMNO khususnya dalam kalangan ahli yang masih melihat MN sebagai pengalaman kerjasama politik yang positif.
Namun katanya, penerimaan itu tidak semestinya menyeluruh kerana persaingan politik, perbezaan kesetiaan parti dan pengalaman pertembungan dalam pilihan raya terdahulu masih mempengaruhi hubungan kedua-dua pihak.
“Cabaran sebenar bukan sekadar mendapatkan persetujuan kepimpinan tertinggi, tetapi memastikan penyokong Pas sanggup mengundi calon UMNO dan begitu juga sebaliknya.
“Kepercayaan tidak boleh dibina hanya melalui pengumuman kerjasama atau persefahaman elit politik tetapi memerlukan komunikasi berterusan, penglibatan kepimpinan bahagian dan kawasan, kempen bersama serta komitmen menghormati keputusan pembahagian kerusi,” katanya. – UTUSAN











