PETALING JAYA: Malaysia perlu terus memberi tekanan kepada Indonesia supaya mengambil tindakan lebih berkesan bagi menangani isu jerebu rentas sempadan yang berulang setiap tahun.
Ahli Geostrategi dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, tekanan daripada negara jiran seperti Malaysia dan Singapura amat diperlukan kerana kerajaan Indonesia ketika ini tidak berdepan tekanan yang mencukupi daripada rakyatnya sendiri.
“Pak Prabowo (Presiden Indonesia, Prabowo Subianto) tidak mendapat tekanan daripada rakyat sendiri.
“Justeru, tekanan daripada jiran seperti Malaysia dan Singapura amat diperlukan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau berpendapat, satu sidang kemuncak melibatkan pemimpin Malaysia, Singapura dan Indonesia perlu diadakan bagi membincangkan penyelesaian bersama terhadap isu jerebu.
Menurutnya, pertemuan tiga pemimpin utama itu penting bagi mencari jalan untuk menggalakkan Indonesia menerima bantuan daripada negara jiran yang mempunyai kemampuan.
“Bagi saya, jalan terbaiknya adalah mengadakan sidang kemuncak antara tiga pemimpin utama Malaysia, Singapura dan Indonesia,” katanya.
Menurutnya, isu jerebu merupakan masalah rentas sempadan yang bukan sahaja memberi kesan dari segi ekonomi kepada negara jiran seperti Malaysia dan Singapura, malah turut mempunyai implikasi politik tempatan.
Katanya, dari sudut perundangan antarabangsa, perlu ada peruntukan berkaitan alam sekitar yang boleh digunakan bagi menangani masalah rentas sempadan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, sebelum tindakan melalui perundangan antarabangsa diambil, tekanan secara tersirat atau tidak langsung kepada pemerintah Indonesia boleh diberikan.
Sementara itu, Pakar Undang-Undang Antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Salawati Mat Basir berkata, Malaysia perlu menggunakan pendekatan diplomatik selagi masih mampu berbuat demikian berikutan tindakan dari sudut undang-undang antarabangsa terhadap Indonesia adalah amat terhad dan mencabar.
Katanya, keadaan itu disebabkan prinsip kedaulatan negara serta sistem perundangan serantau yang lebih mengutamakan konsensus berbanding hukuman.
“Jika rundingan diplomatik dua hala menemui jalan buntu, Malaysia hanya mempunyai ruang untuk membuat tuntutan di bawah ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution (AATHP), namun peruntukan itu turut menetapkan pertikaian perlu diselesaikan melalui rundingan damai.
“Maknanya masih berunding. Dia tidak ada mekanisme penguatkuasaan, mahkamah khas, mahkamah timbang tara, dia tidak ada. Peruntukan penalti atau denda semua tidak ada. Jadi AATHP ini pun tidak jadi jalan keluar pula kepada kita,” katanya.
Menurutnya, Malaysia perlu mempertimbangkan penggubalan undang-undang domestik yang mempunyai kesan ekstrateritorial, termasuk akta berkaitan jerebu rentas sempadan, selain melihat kemungkinan tindakan terhadap syarikat Malaysia yang menjalankan operasi di Indonesia.
“Kalau betul ada, maknanya kita boleh denda syarikat kita yang buat operasi di Indonesia itu tetapi tetap juga pembuktian itu,” katanya.
Dalam pada itu, Salawati berkata, Malaysia perlu melihat kemungkinan pindaan terhadap AATHP kerana pendekatan berasaskan konsensus ASEAN dilihat tidak mencukupi untuk menyelesaikan isu berkenaan.
“Saya sebenarnya sangat kecewa sebab kita tidak berani langkah ke depan. Tidak berani nak ubah ASEAN itu supaya ada pembetulan atau kita buat pindaan pada AATHP ini.
“Selagi mana kita guna konsensus ASEAN sahaja Indonesia tidak risau. Dia memang tidak risau tetapi kitalah. Jadi tindakan sewajarnya Malaysia terpaksa berdiplomatiklah selagi mana mampu,” katanya. – UTUSAN











