Sekolah tutup, anak-anak kita buat apa?

Sekolah tutup, anak-anak kita buat apa?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
SEKUMPULAN remaja rancak bermain basikal di pekarangan sebuah masjid sementara menunggu waktu solat Jumaat.

Di sudut lain, sekumpulan remaja asyik bersembang, makan-makan sambil bergelak ketawa.

Di padang permainan sebuah taman perumahan pula, beberapa remaja seronok bermain tanpa menghiraukan keadaan cuaca berjerebu.

Di lokasi lain, beberapa remaja menghabiskan masa dengan memancing.

Situasi di atas yang dirakamkan penulis menunjukkan bagaimana anak-anak kita menghabiskan waktu yang sepatutnya mereka berada di sekolah. Namun, disebabkan masalah jerebu, Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengarahkan penutupan beberapa sekolah di kawasan berisiko selepas Indeks Pencemaran Udara (IPU) masih mencatatkan bacaan tidak sihat.

Malah, Menteri Pendidikan kelmarin membenarkan ibu bapa yang bimbang akan kesihatan anak-anak mereka untuk tidak menghantar anak ke sekolah.

Masalahnya, di mana dan bagaimana anak-anak ini mengisi serta memanfaatkan waktu tersebut? Selain itu, bagaimana pula dengan pengawasan ibu bapa? Adakah anak-anak mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian di rumah?

Jika masa tidak ke sekolah dihabiskan dengan bermain dan berada di luar, bukankah lebih baik sekolah dibuka dan mereka bersekolah sahaja? Ini kerana anak-anak tidak terdedah kepada masalah kesihatan berkaitan jerebu, selain terhindar daripada masalah lain seperti salah laku.

Kelmarin, di Dewan Rakyat, Menteri Kesihatan memaklumkan kes jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) meningkat sehingga 167 peratus kepada 7,065 kes pada minggu epidemiologi ke-36 (EP36) susulan keadaan jerebu yang melanda negara.

Untuk itu, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak kekal berada di rumah dan, pada masa sama, tidak meninggalkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Jika tidak, anak-anak kita akan mengalami dua kerugian. Pertama, ketinggalan dalam pembelajaran dan kedua, berdepan risiko kesihatan akibat terdedah kepada cuaca berjerebu. Jadi, ibu bapa perlu memainkan peranan masing-masing agar penutupan sekolah akibat jerebu itu mencapai matlamatnya demi kebaikan anak-anak dan kita semua.

Awasi mereka. Banyak kejadian kebelakangan ini membabitkan anak-anak muda yang tidak terjangkau oleh fikiran ibu bapa.

Kejadian anak muda kita terlibat dalam jenayah berat, termasuk membunuh rakan sekolah, penagihan dadah dan pelbagai kebejatan sosial lain, sangat menakutkan dan membimbangkan.

Pada masa sama, pastikan kesihatan mental anak-anak berada dalam keadaan baik dan terkawal.

Semua ini menuntut kebijaksanaan ibu bapa dalam membentuk sahsiah mereka. Sikap alpa dan mengambil mudah hanya mendedahkan mereka kepada pengaruh buruk persekitaran yang akhirnya boleh ‘membunuh’ masa depan mereka.

Yulpisman Asli ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia. – UTUSAN