TNB ThunderStars enggan terlalu yakin

TNB ThunderStars enggan terlalu yakin

AKSI pemain TNB ThunderStars ketika menentang Maybank di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, kelmarin. - IHSAN HOKITA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun trofi Liga Hoki Malaysia (MHL) kini sudah berada dalam genggaman TNB ThunderStars namun pengendalinya, Mohd Madzli Ikmar Mohd Nor mengakui mereka tidak boleh leka dan berasa terlalu yakin.

TNB ThunderStars selesa mendahului liga dengan 31 mata selepas menewaskan pencabar mereka, Maybank, 4-2, kelmarin, yang kini berada di kedudukan kedua ketinggalan lapan mata.

Menurut Madzli, walaupun kejuaraan liga seakan-akan hampir menjadi milik mereka namun semuanya bakal ditentu selepas mengharungi tiga baki perlawanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami tak boleh ‘tidur’ dalam baki tiga perlawanan selepas ini dan saya jangkakan sekurang-kurangnya perlu mendapatkan tujuh mata sebab kita juga akan bertemu THT (Terengganu Hockey Team).

“Mereka pasukan yang kuat malah kita juga akan bertemu kelab dari Australia, Territory Stingers dan kita tak tahu mungkin kali ini mereka membawa pemain kebangsaan Australia.

“Sekarang boleh dikatakan sebelah kaki hampir memenangi liga tetapi kami masih belum selamat. Apa-apa pun, kami tidak boleh kehilangan mata dalam baki tiga perlawanan selepas ini,” katanya.

Kelmarin, TNB ThunderStars memastikan tiga mata kemenangan menjadi milik mereka selepas Jang Jong Hyun meledak dua gol manakala Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal masing-masing meledak satu gol.

Mengulas lanjut, Madzli berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan oleh pemain selepas mengikuti segala taktikal dan perancangan pasukan.

“Kita tahu, perlawanan ini kedua-dua pasukan hadir untuk menang sebab kita tahu kalau Maybank menang mereka boleh kejar kita dalam kedudukan liga.

“Dua suku terakhir kita memperoleh dua gol penting dan pujian kepada pemain yang bertungkus-lumus mencari gol kemenangan,” katanya.

 

KAPSYEN

 

AKSI pemain TNB ThunderStars ketika menentang Maybank di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, kelmarin. – IHSAN HOKITA

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini