PETALING JAYA: Pertembungan epik antara S. Sivasangari dengan jaguh No. 2 dunia, Hania El Hammamy pada separuh akhir Terbuka Mesir, semalam, memberi gambaran cabaran getir yang bakal diharungi bintang skuasy Malaysia itu pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles kelak.
Anak jati Kedah yang menghuni ranking No. 5 dunia itu berjuang selama 1 jam 26 minit sebelum dia akhirnya akur kepada juara bertahan dari Mesir itu 11-6, 10-12, 12-10, 0-11, 10-12.
Kekalahan tersebut sekali gus menguburkan impian Sivasangari untuk melakar sejarah menjejakkan kaki ke perlawanan akhir buat kali pertama pada kejohanan berstandard Diamond itu.
Namun, dari sudut positif, Sivasangari yang menjadi pemain skuasy wanita pertama di dunia menempah tiket ke Sukan Olimpik, menunjukkan dia kini semakin hampir menyamai kehebatan Hania yang merupakan calon pemenang pingat emas LA 2028.
Malah, Hania sendiri mengakui tentang hakikat itu apabila dia memuji Sivasangari yang mempamerkan peningkatan cukup ketara dalam permainannya.
“Mungkin beberapa tahun lalu, Siva tidak mampu membawa pertemuan ini sehingga empat atau lima set, tetapi, sekarang apa menyukarkan saya adalah dia berjaya menghadirkan cabaran baik dari segi mental dan taktikal.
“Saya berasakan seperti saya telah memenangi peperangan mental sewaktu melangkah keluar dari gelanggang. Sehingga ke tahap itu saya perlu memaksa diri saya bertahan,” katanya ketika ditemu bual selepas perlawanan.
Selain Hania, Sivasangari yang menjadi harapan pingat emas pertama Malaysia pada temasya terbesar di dunia itu, turut dijangka menerima persaingan sengit daripada bintang No. 1 dunia, Amina Orfi juga dari Mesir.
Amina yang baru berusia 19 tahun merupakan juara dunia termuda apabila menjulang gelaran tersebut ketika berumur 18 tahun dan Sivasangari perlu mengekalkan prestasi konsisten serta terus berjuang memperbaiki prestasinya.
Teman lelaki Sivasangari yang juga rakan sepelatihnya, pemain No. 29 dunia, Baptiste Masotti dari Perancis berkata, Sivasangari semakin hampir untuk mengejar kualiti bintang Mesir itu.
“Cuma sedikit mengecewakan dengan beberapa keputusan pengadil. Tetapi, Hania seorang pemain luar biasa dan pertemuan dengan Siva saya rasa ia satu pertembungan klasik dalam skuasy wanita kerana setiap kali mereka bertemu, ia akan menjadi epik,” katanya. – UTUSAN











