PETALING JAYA: Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon menuntut anak buahnya memperkemaskan disiplin taktikal dan meningkatkan mutu permainan apabila melayan kunjungan Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.
Tuntutan itu hadir selepas Gergasi Merah dikejutkan dengan kekalahan 2-3 kepada Star City dalam aksi suku akhir kedua Piala FA di laman sendiri, Sabtu lalu.
Pan Gon mengakui kecewa dengan prestasi pasukannya, termasuk keputusan yang dibuatnya sendiri, selain menegur kegagalan pemain serangan membantu pertahanan sehingga mendedahkan pasukan kepada situasi lima lawan lima.
Menurut pengendali dari Korea Selatan itu, kelemahan berkenaan bukan gambaran sebenar permainan Selangor, namun setiap pemain perlu lebih bertanggungjawab bagi mengelakkan kesilapan sama berulang.
“Jika kita mempunyai semangat, kita mesti membuktikannya melalui tindakan, tetapi tindakan kita sangat lemah.
“Kami tidak bermain seperti kebiasaan, tetapi kami tidak boleh menerima kekecewaan seperti ini di laman sendiri. Kami akan bangkit dengan lebih kuat,” katanya kepada media.
Walaupun tewas dalam aksi di Piala FA, Selangor masih mengekalkan rekod tanpa kalah dengan kemenangan bersih dalam Liga Super setakat ini, sekali gus mengumpul 12 mata untuk menduduki tangga ketiga.
Gergasi Merah bagaimanapun mempunyai kelebihan satu perlawanan berbanding pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT), dan Kuching City yang menghuni tangga kedua, menjadikan kemenangan ke atas Penang penting untuk meneruskan cabaran di kelompok teratas liga.
Sementara itu, Pan Gon memberi gambaran bahawa Faisal Halim berkemungkinan belum dapat diturunkan kerana masih memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialaminya ketika mewakili skuad Harimau Malaya pada kempen Piala ASEAN FIFA di Jakarta, awal bulan ini.
“Mickey (Faisal) tidak berada dalam keadaan yang baik dan dia memerlukan lebih banyak masa. Saya agak sedih kerana kecederaan itu dialaminya ketika menjalankan tugas antarabangsa.
“Saya berharap dia dapat pulih dengan segera dan kembali bersama pasukan, tetapi saya fikir dia masih memerlukan masa,” katanya.











