PETALING JAYA: Peluang Datuk Azizulhasni Awang untuk menaiki podium dalam acara pecut pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2026 dilihat mencabar, namun sasaran menempatkan diri dalam kelompok lapan pelumba terbaik tetap menjadi keutamaan.
Menurut jurulatih skuad berbasikal trek negara, Harnizam Basri, lapan terbaik merupakan kedudukan terbaik buat Azizulhasni bagi menamatkan acara pecut di Velodrom Shanghai, hari ini, dalam misi mengutip mata ke Sukan Olimpik 2028.
Aksi tersebut merupakan peluang terakhir Azizulhasni bagi menebus kekecewaannya selepas gagal mara ke final dalam acara kegemarannya, keirin, kelmarin.
“Peluang untuk naik podium bagi acara pecut macam sukar sebab kekuatan beliau adalah pada acara keirin tetapi kita meletakkan sasaran lapan pelumba terbaik.
“Kita kena dapatkan lapan terbaik sebab kedudukan tersebut menawarkan kutipan mata yang bagus untuk kelayakan (Sukan Olimpik 2028).
“Bagaimanapun, jika keadaan sebaliknya pula berlaku tak dapat lapan terbaik bukan satu masalah sebab ini baru satu kejohanan dan akan ada lagi kejohanan menyusul selepas ini dan tahun depan ada lagi kejohanan dunia,” katanya.
Terdahulu, impian Azizulhasni untuk memburu pingat bagi acara keirin tidak kesampaian apabila sekadar menamatkan saringan ketiga suku akhir di tempat terakhir, sekali gus terlepas peluang ke separuh akhir.
Mengulas lanjut, Harnizam berkata, prestasi Azizulhasni berada pada tahap terbaik, tetapi percubaannya untuk melancarkan serangan pada saat akhir tidak menjadi seperti dirancang.
“Apabila perlumbaan menjadi perlahan pada pusingan pertama, rentak perlumbaan tidak begitu tinggi menyebabkan dia terlewat untuk membuat gerakan.
“Apabila menghampiri pusingan terakhir, barulah dia cuba mengambil tindakan, tetapi berlaku sedikit pelanggaran pada dua selekoh terakhir yang menyebabkan dia terkeluar daripada laluan ideal dan tidak sempat mengejar pelumba di hadapan,” katanya.
Sebagai rekod, Azizulhasni pernah menjuarai acara keirin di Kejohanan Trek Berbasikal Dunia 2017 di Hong Kong sekali gus menjadi atlet pertama negara melakukannya. – UTUSAN











