MANCHESTER: Manchester United akan bertandang ke gelanggang seteru tradisi, Leeds United esok ketika tekanan terhadap pengurus Michael Carrick semakin memuncak.
United memulakan kempen liga dengan rekod terburuk dalam tempoh 40 tahun, sebelum kekalutan dalam pasukan bertambah susulan kritikan pertahanan Lisandro Martinez.
Martinez mengkritik kepimpinan kelab berkenaan berhubung kekurangan pelaburan dalam skuad selepas kekalahan 0-2 kepada Atletico Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah pada Rabu lalu.
Pemain Argentina itu menyasarkan pengarah teknikal, Jason Wilcox selepas The Red Devils hanya membawa masuk tiga pemain tengah sepanjang jendela perpindahan.
Bagaimanapun, Martinez sendiri antara pemain yang turut dipersalahkan atas permulaan hambar musim ini susulan peranannya dalam gol yang dibolosi ketika menentang Fulham dan Tottenham dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
United hanya memenangi satu daripada enam perlawanan liga pertama mereka, selain tersingkir daripada saingan Piala Liga kepada Brighton bulan lalu.
Kali terakhir Leeds menewaskan The Red Devils di Elland Road ialah pada 2002, namun mereka pernah menghadiahkan satu-satunya kekalahan di laman sendiri kepada Carrick ketika dia menjadi pengurus interim musim lalu.
Carrick kini semakin berisiko menjadi pengurus terbaharu yang gagal memulihkan kemerosotan ketara United sejak persaraan Alex Ferguson pada 2013.
Namun, bekas pemain tengah United itu berkata, suasana bermusuhan yang bakal menanti pasukannya menjadi peluang terbaik untuk bangkit.
“Perlawanan esok adalah persiapan yang sangat baik. Ia perlawanan hebat untuk kami, kelab, sejarah dan penyokong.
Segala-galanya mengenai perlawanan ini menjadikannya aksi yang hebat, jadi kami akan bersedia,” kata Carrick. – AGENSI










