Polis siasat penemuan bungkusan misteri di sembilan sekolah - Utusan Malaysia

Polis siasat penemuan bungkusan misteri di sembilan sekolah

BUNGKUSAN mencurigakan yang mengandungi tepung gandum dan pinggan plastik ditemukan di beberapa sekolah di Nilai, Seremban.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polis menerima sembilan laporan berhubung penemuan bungkusan mencurigakan yang ditinggalkan di beberapa buah sekolah di Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, lima laporan tersebut diterima di Nilai manakala empat lagi di Tampin, dengan hasil siasatan awal mendapati bungkusan yang ditemukan mempunyai persamaan daripada segi bentuk dan kandungannya.

Menurutnya, bungkusan itu dilaporkan berada di kawasan sekolah untuk suatu tempoh sebelum pihak sekolah membuat laporan polis selepas penerima yang tertera pada bungkusan berkenaan tidak hadir untuk mengambilnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Susulan laporan diterima, pihak polis mengambil langkah keselamatan sewajarnya dengan mendapatkan bantuan Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan pemeriksaan dan tindakan menyelamat terhadap bungkusan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada bahan letupan atau bahan berbahaya ditemukan. Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan itu mengandungi tepung gandum dan pinggan plastik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alzafny berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab menghantar atau meninggalkan bungkusan berkenaan serta menentukan motif sebenar kejadian.

“Pihak polis menasihatkan pihak pengurusan sekolah dan orang ramai supaya tidak menyentuh, membuka atau mengalijkam sebarang bungkusan mencurigakan yang tidak diketahui pemilik atau asal usulnya.

“Justeru, sebarang penemuan hendaklah segera dimaklumkan kepada pihak polis bagi tindakan keselamatan selanjutnya,” katanya.

Terdahulu, lima buah sekolah di Nilai dilaporkan menerima bungkusan misteri hari ini sehingga menyebabkan polis mengehadkan akses ke kawasan terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini