JOHOR BAHRU: Satu sindiket dadah yang belum sempat beroperasi sepenuhnya tumpas menerusi dua serbuan polis di sekitar bandar raya ini melibatkan penemuan pelbagai jenis dadah bernilai RM18.19 juta, pada 1 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, antara dadah dirampas termasuklah MDMA, ekstasi, ganja dan Eramin 5.
“Operasi pertama dilakukan di Taman Megah Ria, Masai membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah termasuk lebih 106 kilogram (kg) serbuk MDMA.
“Dalam operasi itu, polis turut menahan dua lelaki dan seorang perempuan berusia 17 hingga 22 tahun turut ditahan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Tambah Hussein, susulan penahanan suspek, polis melakukan serbuan kedua di sebuah rumah di sekitar Jalan Permas dan menemukan 5.2 kg serbuk MDMA serta 23 liter cecair ganja serta pelbagai jenis peralatan memproses dadah.
“Jumlah keseluruhan dadah serta peralatan yang dirampas dianggarkan bernilai RM18.19 juta dan mampu memudaratkan seramai 426,000 pengguna. Sindiket ini dikesan telah aktif sejak Jun lalu dengan modus operandi diguna adalah menjadikan sebuah rumah kedai sebagai stor simpanan bahan dan peralatan memproses dadah.
“Selain itu, sebuah rumah teres turut dikesan sebagai lokasi memproses dadah sebelum bahan terlarang berkenaan diedarkan ke pasaran tempatan. Kita percaya sindiket ini belum beroperasi sepenuhnya kerana rumah berkenaan dilihat baharu hendak memulakan operasi,” katanya.
Beliau turut memberitahu pihaknya sedang mengesan mana-mana individu lain yang mungkin terlibat dengan sindiket berkenaan.
“Sindiket ini dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket lain di peringkat antarabangsa. Ini kerana mereka didapati belum sempat membawa masuk ahli kimia dari luar negara.
“Ujian urin mendapati dua daripada tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala pemeriksaan rekod mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
“Suspek pertama berperanan sebagai koordinator sindiket tersebut manakala seorang lagi lelaki bertindak sebagai individu yang menguruskan logistik serta sewa premis. Manakala gadis berusia 17 tahun merupakan teman wanita kepada suspek pertama.
Hussein turut memberitahu, kesemua suspek telah dituduh dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 12 Oktober lalu.-UTUSAN











