Dia ajar saya cara menangis – Aila Azizul puji sikap profesional Zul Ariffin - Utusan Malaysia

Dia ajar saya cara menangis – Aila Azizul puji sikap profesional Zul Ariffin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mendapat kepercayaan menggalas watak utama buat kali pertama menerusi filem Pemuja Syaitan, pelakon, Aila Azizul mengakui gementar namun bersyukur kerana dipertemukan dengan pasangan lakon yang sangat membantu, Zul Ariffin.

Aila, 31, berkata dia menyifatkan Zul Ariffin sebagai seorang abang dan mentor yang tidak lokek berkongsi ilmu sepanjang 23 hari mereka berkampung di set penggambaran mereka di Cherating, Pahang.

“Abang Zul memang bagus dan dia seorang pelakon yang sangat hebat. Memandangkan ini adalah naskhah pertama saya sebagai teraju utama, dia banyak membantu saya untuk masuk ke dalam karakter dan melakukan persediaan rapi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Antara perkara paling berharga yang dia ajarkan kepada saya adalah teknik bagaimana untuk menangis.

“Bukan senang sebenarnya hendak mengeluarkan air mata dengan ikhlas mengikut kehendak skrip, jadi dia berkongsi perjalanan dan caranya sendiri untuk saya jadikan panduan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai keserasian mereka di set, pelakon yang mula mencuri tumpuan menerusi lakonanya dalam Generasi Perfect 10 ini verkata Zul seorang yang sangat mudah didekati dan sering mengajak berbincang mengenai teknikal lakonan sebelum penggambaran bermula.

“Kadang-kadang kami hanya lepak dan borak santai mengenai babak yang bakal dirakamkan.

“Saya rasa sangat bertuah dan bersyukur mendapat Abang Zul sebagai pasangan lakon kerana dia banyak memudahkan urusan saya di set,” jelasnya lagi.

Bercerita mengenai cabaran fizikal, Aila mengakui naskhah arahan Liyana Jasmay itu sangat meletihkan kerana melibatkan banyak babak malam selain tuntutan emosi yang tinggi seperti menjerit dan menangis dalam tempoh lama.

“Satu syot melibatkan banyak ambilan (take) dan sudut kamera. Memang penat secara mental dan fizikal.

“Tetapi bantuan daripada pelakon senior seperti Abang Zul memberikan saya kekuatan untuk memberikan persembahan terbaik,” ujarnya.

Filem Pemuja Syaitan mengisahkan insiden membabitkan sekumpulan bekas rakan sekelas berkumpul semula di sebuah pulau terpencil selepas tamat persekolahan.

Turut sama menjayakan naskhah itu ialah Zul Ariffin, Alia Azizul, Elizabeth Tan, Nadhir Nasar, Ellyza Azizi dan filem tersebut kini sudah menemui penonton di pawagam. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini